ULASAN SENI | Pada tahun-tahun 1960-an dulu P Ramlee dikatakan pernah diejek serta diketawakan semasa membuat persembahan. Seniman agung itu adalah antara anak seni yang pernah disampahsampahkan.
Kecamuk dan berantakan di atas muka bumi ini tidaklah hanya berkisar tentang segala macam kebobrokan politik. Ia juga tidak berputar di sekitar nafsu besar serta kemaruk kuasa semata-mata.
Pengkhianatan politik, habuan jawatan dan kebendaan, segala aktiviti jual beli wakil rakyat adalah antara pengisian kekecamukan itu. Namun semua itu bukanlah satu-satunya penyebab yang membawa sesebuah negara tersembam ke lembah 'kesialan'.
Adapun kesialan juga boleh berlaku apabila masyarakat telah tidak lagi peduli - malah enggan menghiraukan - akan sesuatu yang namanya nilai.
Ia kemudian membawa kepada proses transisi haru-biru dan masyarakat berantakan. Masyarakat yang tidak peduli akan nilai itu bertukar menjadi “masyarakat sampah”.
Antara tanda yang dapat dilihat apabila ia berlaku ialah masyarakat tidak lagi mengendahkan aspek ketinggian moral atau akhlak yang mengangkat kualiti hidup.
Agama dan kehidupan yang berteraskan ilmu pengetahuan telah dipecah malah dipisah-pisahkan. Ia menjadi cabang-cabang kecil yang sungguh rumit, keliru serta amat sukar untuk difahamkan.
Nah, akibatnya masyarakat dijarakkan dengan jurang perbedaan amat luas.
Hari ini masyarakat kita masih saling berkelahi berebutkan kalimah Allah. Kita juga sibuk berbalah mengenai istilah tertentu yang selama ini tidak menjadi isu pun - sehinggalah orang politik menyibuk dan cuba menjadi juara.
Masalahnya ialah perbalahan itu bukannya tentang bagaimana sebuah negara demokrasi seperti Malaysia ini perlu diisi dan dimajukan. Sebaliknya kita banyak mempersoal tentang mengapa agensi kerajaan yang diberi tugas mendaftarkan pertubuhan perlu menurut perintah sang menteri.
Negara yang kononnya berfikiran tinggi ini juga mahu meragut hak rakyat semuda 18 tahun daripada mengundi selepas laluan untuk itu dibuka secara konsensus beberapa tahun lalu.
Masyarakat pula saling mencaci-maki. Media sosial menjadi tempat menonjolkan kebodohan untuk pertelagahan hal yang bukan-bukan. Ia bukan saja menjadi wadah orang biasa, malah ahli politik juga. Termasuk misalnya menteri besar yang acah-acah budiman tetapi mengugut untuk menyalurkan selut ke negeri jiran.
Gagal mengurus ilmu pengetahuan
Kemuncak kepada kemelaratan sistem sosial ini ialah penindasan terhadap struktur ilmu pengetahuan.
Akibat keterlaluan menfokuskan kemajuan hanya kepada sains, matematik dan kejuruteraan untuk membina beribu bangunan, masyarakat semakin berubah dan menjauh dari kesenian, kebudayaan dan kesusasteraan.
Nah, inilah ibu kepada segala macam penindasan. Dari situlah wujudnya lebih banyak pergeseran, pertelagahan dan peperangan yang sangat sukar untuk dihentikan.
Masyarakat tanpa pegangan ilmu kesenian, kebudayaan dan kesusasteraan adalah masyarakat yang hidup tanpa pemikiran.
Maka kita menyaksikan kewujudan fenomena aneh seperti membakulsampahkan kerja-kerja kesenian tanpa hujah yang wajar. Manusia menilai dan menghakimi kesenian secara buta lagi tuli.
Kegagalan mengurus ilmu pengetahuan telah mengebumikan daya intelek sekali gus menghilangkan cara fikir suatu masyarakat yang matang.
Tidak sebagaimana sains, matematik, perundangan atau kejuruteraan, seni jarang mahu dilihat dari kaca mata intelektual semasa memberikan penghakiman.
Justeru sekarang kita melihat masyarakat yang porak-peranda pemikirannya.
Kemudian muncullah fenomena filem atau lagu sampah. Ia sebenarnya mula bercambah sebaik saja P Ramlee diejek dan diketawakan di pentas Dewan Bahasa dan Pustaka sewaktu dia membuat persembahan.
Gelombang fenomena sampah itu senyap-senyap merayap, merebak dan telah menjadi virus dalam masyarakat.
Ia kian membusuk, bernanah sampai kemudiannya menjadi barah. Ia menjadi begitu tengik semasa Festival Filem Malaysia Keenam di Kuala Lumpur.
Gagal fahami konteks
Detik Pyanhabib menolak anugerah kemenangannya pada malam itu adalah kemuncak kepada polemik karya sampah yang lebih parah. Ini kerana yang mentertawakan Pyanhabib pada malam tersebut adalah manusia yang mahu digelar seniman.
Sambutan pada ketegasan ucapan Pyanhabib malam itu adalah suatu keanehan yang tidak tergambarkan.
Protes sosial berbaur politik, intelek dan falsafah yang dizahirkan Pyanhabib telah disambut dengan hilai ketawa yang tidak berhenti.
Sejarah menjadi saksi bahawa pada malam itu, kumpulan artisan dan seniman sendiri gagal memahami konteks dan prinsip perjuangan seni yang berasaskan kebenaran.
Pada malam itu kita menyaksikan bagaimana maruah seni itu diperlakukan dengan cara paling sampah iaitu dengan cara menidakkan pemikiran dan menafikan intelektualisme untuk menilai prinsip yang mendasari suatu tindakan seorang seniman.
Rompakan maruah, hak serta keintelektualisme orang seni ini masih berterusan ketika mereka mengabdikan diri untuk memberikan sesuatu yang dapat melegakan masyarakat.
Harus kita ketahui bahawasanya filem sampah, drama sampah, lagu sampah atau muzik sampah itu wujud kerana kita sendiri rela hidup dalam sebuah masyarakat sampah.
Sebuah masyarakat sampah itulah yang tidak tahu tentang ilmu atau falsafah. Suatu masyarakat yang hanya mahu dan tahu tentang sampah.
HARIS HAUZAH ialah seorang apologetik yang selalu lesu dan tak tahu malu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.