Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Salina filem Melayu pertama ditayang lepas panggung dibuka

Meskipun pandemik Covid-19 belum berakhir, penerbit Salina nekad meneruskan tayangan filem mereka bagi mengelak berdepan pesaing lebih besar yang dijangka menjengah ke layar lebar selepas Aidilfitri nanti.

Langkah itu dirasakan wajar oleh Shafirulnizam Haron, penerbit produksi Madness Films Sdn Bhd (Madness Films) kerana Salina menjadi filem Melayu terawal yang ditayangkan selepas industri penerbitan kandungan kreatif memperoleh kebenaran pembukaan semula panggung wayang bermula 5 Mac lalu.

“Saya hanya ada pilihan sama ada untuk tayangkan sebelum atau selepas hari raya. Jika tak keluarkan sekarang, kalau lepas raya, mungkin akan ada filem Melayu yang lain.

“Buat masa ini, pesaing besar dari antarabangsa adalah Godzilla vs Kong, dasn tiada pesaing tempatan. Salina naskhah pertama diluluskan Skim Wajib Tayang ketika ini,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Shafirulnizam, tindakan diambilnya bukanlah sembarangan, sebaliknya Madness Films dibuat selepas penelitian dilakukan terhadap beberapa panggung sama ada di luar atau dalam negara.

“Selain itu, kami juga meminta pandangan pengedar iaitu David Teo dan pengusaha pawagam mengenai tarikh yang bersesuaian.

“Untuk dalam negara pula, saya turun sendiri ke beberapa panggung selama beberapa hari selepas ia dibuka awal Mac lalu dan mendapati mereka yang pergi berhibur rindu nak menonton wayang semula selepas ia kembali dibuka.

“Selebihnya, saya bertawakal dan istikharah. Saya berharap dengan adanya pelakon dan pengarah berbakat, Salina mendapat sambutan yang baik,” katanya yang ditemui pada majlis tayangan filem itu di e-Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, kelmarin.

Salina berkisahkan seorang wanita penyayang tapi menyimpan seribu satu rahsia dalam kehidupannya. Ia terungkai selepas dia terjumpa tiga kanak-kanak misteri di hutan.

Filem arahan Raja Mukhriz itu ditayangkan bermula hari ini di seluruh pawagam tanah air. Ia dijayakan oleh pasangan suami isteri, Mona Allen dan Pekin Ibrahim.

Selain itu, ia turut dibantu Alicia Amin, Sharifah Shahora, Badrul Muhayat dan Aleeza Kasim.

Jelas Shafirulnizam lagi, Salina sepatutnya ditayangkan tahun lalu namun terpaksa ditangguh dua kali akibat perintah kawalan pergerakan.

Pun begitu katanya penangguhan tersebut membawa seribu kebaikan kerana pihak produksi berpeluang menambah baik naskhah yang dianggarkan menelan belanja lebih RM1 juta itu.

“Kami selesai penggambaran pada Ogos 2019. Sepatutnya tarikh tayangan ialah Julai lalu lalu kemudian ditunda ke 5 Nov pula. Tiga kali tunda sebab pandemik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS