Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sering mencuri perhatian kerana pelbagai aksi yang dianggap tabu oleh kebanyakan orang, Alicia Amin berkata dia sebenarnya sedia berbincang dan mendengar pandangan pihak yang tidak sependapat dengannya.

Menurut pelakon dan model itu pihak terbabit boleh cuba meyakinkan dia bahawa perbuatannya itu adalah salah dan jika membawa kemudaratan kepada sesiapa.

“Saya tak berubah semata-mata untuk orang lain. Nak hakimi saya buatlah, tapi saya tak berhutang apa-apa pada anda untuk berubah.

“Namun, jika apa yang saya buat tu salah dan boleh memudaratkan orang lain, kita boleh duduk sama-sama dan berbincang.

“Orang itu juga boleh cuba yakinkan saya, mengapa saya tak boleh buat itu dan ini. Saya akan cuba dengar dan pertimbangkan pandangan yang diberikan,” katanya.

Alicia ditemui selepas tayangan filem terbaru lakonannya, Salina di e-Curve di Mutiara Damansara, Petaling Jaya malam tadi.

Filem yang mendapat arahan Raja Mukhriz itu dijadual menjengah layar perak mulai 25 Mac ini. Selain Alicia, naskhah thriller psikologi itu turut dijayakan pelakon seperti Mona Allen, Pekin Ibrahim, Badrul Muhayat, Sharifah Shahora dan Aleeza Kasim.

Nama Alicia bukanlah asing sejak kontroversi dia bergambar tanpa seurat benang ketika sesi rakaman fotografi sebelum ini dengan pantas menarik perhatian ramai.

Selain itu, tindakan Alicia menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan juga menyebabkan ruang komen di media sosialnya dihujani kecaman netizen.

Bukan isu jika di negara lain

Menurut Alicia - atau nama penuhnya Raja Alicia Raja Amin itu - apa saja yang dikongsi di media sosial miliknya, ia bertujuan hanya satu: dia sekadar ingin menjadi dirinya sendiri dan bukan mengikut acuan sesiapa.

Justeru, bagi Alicia, 25, sebarang kontroversi yang terpalit pada dirinya dianggap suatu perkara kurang wajar selain berasakan ia tidak perlu diberi perhatian sebegitu oleh netizen.

“Sebenarnya rasa amat sedih disebabkan wujud kontroversi yang tak diperlukan. Saya tahu apa saya lakukan bukan untuk tujuan salah.

“Ia adalah asli (menjadi diri sendiri) walaupun ada orang tak faham.

"Jika anda berbeza daripada orang lain, pasti akan timbul komen-komen tidak menyenangkan. Padahal kalau kamu tak tengok saya (di media sosial) pun kamu akan tetap OK.

“Cuma apa saya buat jadi kontroversi sebab kita berada di Malaysia. Jika di negara lain, orang mungkin tak akan kisah pun. Bagi saya, ni bukan fasal moden atau budaya,” katanya.

Alicia dalam salah satu babak filem Salina

Pun begitu, Alicia mengakui sebagai seorang manusia biasa, ada kalanya dia melakukan kesilapan tanpa disedari.

“Ini adalah perjalanan hidup saya. Dan saya seperti manusia lain juga buat silap sebab saya pelakon dan paparkan ia secara umum,” katanya.

Sementara itu, mengulas wataknya dalam Salina, Alicia berkata, selain berlakon sewaktu hujan, dia juga berdepan pelbagai cabaran untuk merealisasikan wataknya sebagai ibu kepada tiga anak dalam naskhah berkenaan.

Menurutnya - yang baru mendirikan rumah tangga dengan doktor, Farzan Iqbal pada Feb lalu - ia mencabar kerana dia belum pernah lagi menjalani fasa seorang ibu untuk menjiwai karakter itu dengan mudah.

“Saya bukan seorang ibu, ia berbeza dengan kasih sayang ditunjukkan dengan adik-beradik atau macam mana ibu bapa sebenar tunjukkan pada anak-anak mereka.

“Saya perlu buat banyak kajian dan rujuk filem seperti A Quiet Place untuk watak tersebut selain melakonkan aksi pegun sendiri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS