Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Siapa kata saya nak berlakon nampak cantik saja?'
Diterbitkan:  Mar 22, 2021 2:33 PM
Dikemaskini: 6:33 AM

Pelakon Rozita Che Wan menafikan dia hanya mahu menerima tawaran jika watak itu untuk melakonkan watak ‘control cantik’ atau disolek tebal semata-mata.

Tampil menjelaskan hal itu, Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta berkata, dia terkilan selepas 15 tahun bergelar anak seni, masih ada pengarah yang meragui kredibilitinya sebagai pelakon.

Gara-gara itu, kata Rozita, nama dia digugurkan hanya kerana dia dianggap tidak boleh tampil dalam keadaan buruk dalam lakonannya.

Menurutnya, pernah tiga kali dia membuktikan dirinya tidak hanya bersandarkan keselesaan ingin sentiasa cantik di depan lensa kamera semata-mata.

Misalnya semasa melakonkan watak sebagai pengemis dalam telefilem Dosa Siapa arahan Murali Abdullah yang disiarkan sekitar 2011.

“Watak Halimah tu juga pernah melayakkan saya jadi calon lima terbaik Pelakon Drama TV Wanita Anugerah Skrin suatu ketika dulu.

"Sebelum itu saya pernah berlakon sebuah telefilem dengan Fauzi Nawawi. Judulnya saya sudah tak ingat, tapi saya dilacurkan suami dalam telefilem itu dan kemudian menghidap Aids.

“Terbaru saya disolek buruk dan jadi tua dalam telefilem terbitan Zeel Production, My Future Husband, yang disiarkan di Astro Citra baru-baru ini. Mira Filzah dan Amy Mastura pun berlakon,” katanya.

Idam beraya di rumah baru

Kata Rozita, sejak mencari rezeki dalam dunia lakonan dia sentiasa berfikir di luar kotak dan sanggup mencabar diri dengan apa saja watak.

“Siapa kata saya nak berlakon jadi cantik saja?” katanya.

Bagaimanapun, Rozita berkata, dia enggan ambil pusing mengenai insiden membabitkan seorang pengarah itu.

“Jujur saya agak terkejut apabila diberitahu seorang pengarah tak mahu saya berlakon bawah arahannya.

“Mungkin selama ini, dia hanya nampak saya di Instagram. Tak apalah, saya berserah dalam soal rezeki. Kalau ada... adalah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rozita dijangka ke Perlis hujung bulan ini untuk penggambaran sebuah drama. Malah jika tiada aral melintang, dia juga akur terpaksa menjalani Ramadan di negeri itu demi melunaskan komitmen tersebut.

Sementara itu sambutan ulang tahun kelahiran pelakon yang juga ahli perniagaan itu terus diraikan.

Tanggal 9 Mac lalu pelakon yang terkenal menerusi drama Kiah Pekasam itu genap berusia 48 tahun.

Mengabadikan memori setiap detik yang terjadi, isteri kepada pelakon Zain Saidin itu memuat naik video dan gambar di laman Instagramnya.

Kali ini sehari sebelum usianya bertambah Rozita mengambil inisiatif mengadakan majlis kesyukuran berbentuk kuliah Duha di premis acara Aman House di ibu kota dengan mengundang pendakwah bebas, Syamsul Debat.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia amat menyenangi cara Syamsul Debat berkongsi ilmu dan nasihat.

“Ikutkan saya sudah selalu adakan acara seumpama ini atau membabitkan hal syurgawi.

"Ada usikan dan lawaknya memang betul-betul kena tepat kepada batang hidung sendiri. Ia jadi teguran bermakna dan cerminan untuk diri sendiri," katanya.

Biarpun menyambut peningkatan usia kali ini di kala pandemik Covid-19 belum surut, namun Rozita tetap bersyukur.

"Cuma tetamu diundang tak boleh terlalu ramai," katanya.

Menghampiri usia 50 tahun, Rozita juga berharap dia terus dikurnia kudrat dan dimurahkan rezeki.

"Saya berharap hasrat untuk berpindah ke kediaman baru akan jadi kenyataan tahun ini. Kalau tak ada aral akan masuk rumah itu sebelum raya nanti. Harapnya dapatlah beraya di rumah baru.

"Sebenarnya, sejak tahun lalu, ketika pandemik melanda, saya bertukar kontraktor kerja pengubahsuaian sebanyak tiga kali.

"Ada yang menipu, jadi itulah punca urusan berpindah ke rumah baharu jadi tertangguh," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS