Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Astaghfirullahaladzim, saya bukan cemburukan sesiapa'

Bukan mencemburui rezeki mana-mana pelakon, sebaliknya Izara Aishah menegaskan kenyataan yang diciapnya baru-baru ini ditujukan khas buat ‘pendatang baru’ yang tidak serius mendalami watak ditawarkan kepada mereka.

Bagi Izara, mungkin ada segelintir daripada mereka bukan benar-benar meminati bidang yang diceburi sebaliknya lebih mengutamakan kecantikan berbanding memahami karakter yang ingin dibawa.

“Saya bukan cemburukan rezeki sesiapa. Astaghfirullahaladzim. Tapi saya bersikap demikian terhadap orang yang tidak serius bekerja di set, yang terlalu mengutamakan kecantikan berbanding mempelajari karakter mereka.

“Jangan ada yang baca skrip tapi sebenarnya dia tak faham apa nak disampaikan pun,” katanya.

Bukan setakat itu, kata Izara, pasaran industri hiburan tanah air juga ‘tercemar’ apabila ada kalangan pendatang baru menawarkan harga begitu rendah kepada stesen televisyen demi mendapatkan tawaran lakonan.

“Buat pendatang baru, nasihat saya ialah: jangan letak harga kamu terlalu rendah,” katanya.

Terdahulu, luahan pemilik nama penuh Izara Aishah Hisham, 28, itu mengundang perhatian umum apabila dia mempertikaikan mengapa begitu ramai pesohor Instagram (Instafamous) atau pempengaruh (influencer) muncul di kaca televisyen sebagai pelakon.

Syarikat produksi kena berperanan

Izara berpendapat, tindakan sesetengah stesen televisyen memilih golongan itu untuk berlakon adalah disebabkan bayaran untuk mereka yang jauh lebih murah berbanding pelakon lain.

Secara sinis aktres itu bertanya: “Stesen televisyen semakin tiada bajet sebab Covid-19 ke?”

Dia - yang mendirikan rumah tangga dengan anak tiri Siti Nurhaliza itu - menjelaskan berbeza dari zaman pernah dilaluinya, kebanyakan mereka perlu menghadiri sesi uji bakat selain ada antara mereka yang belajar ilmu lakonan terlebih dulu sebelum terjun ke bidang tersebut.

“Zaman saya, kami perlu jalani uji bakat. Minat kami benar-benar untuk jadi aktor. Bahkan ada antara kami sanggup belajar seni persembahan untuk masuk industri.

"Usaha kami letakkan dulu amat berbeza dengan apa yang ada sekarang,” katanya.

Izara yang ditemui pada majlis pelancaran lagu dan produk minuman Siti Nurhaliza di Skyglass, Cyberjaya semalam berkata, syarikat produksi juga seharusnya memainkan peranan dengan betul iaitu mengadakan saringan pelakon dan bukannya terus menggunakan khidmat pendatang baru tanpa menyelidik kemampuan dan disiplin mereka.

Izara menjelaskan, sikap sesetengah stesen televisyen atau produksi yang terlalu mengutamakan populariti berbanding bakat seseorang hanya menenggelamkan kualiti dan jenama produk terbitan tempatan.

“Tidak semestinya dengan menggunakan khidmat pelakon yang popular, semua pengikut dia di laman media sosial akan tonton karya tersebut.

“Ambil saja contoh Sharifah Armani, tengok berapa ramai akan tengok cerita yang dia lakonkan, tu sangat berbeza," katanya.

Tambah Izara pelakon juga perlu mempunyai inisiatif sendiri dengan memasuki kelas lakonan untuk sentiasa kekal dalam industri.

“Bukan saja untuk pempengaruh atau pesohor Instagram, tapi untuk sesiapa saja yang ingin jadi pelakon... pastikan kamu sudi belajar untuk menjiwai watak atau karakter, jangan jadi pelakon yang tak serius.

“Pelakon baru juga perlu ada usaha sendiri masuk kelas lakonan, baru dapat kekal dalam industri.

"Bukan muncul sekejap, lepas tu tenggelam buat selama-lamanya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS