Mengesahkan spekulasi bertebaran semalam, kakak Neelofa, Noor Nabila hari ini benar-benar melangsungkn perkahwinan dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin kira-kira jam 10.02 pagi tadi.
Dengan sekali lafaz, pasangan itu dinikah dengan berwalikan adik Nabila sendiri, Mohamed Aqief Mohd Noor, di Masjid at-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Noor Nabila, 36, menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin. Bagaimanapun, tiada dulang hantaran diberi dan dibalas pasangan pengantin berkenaan.
Jumlah wang hantaran juga tidak dimaklumkan. Dekorasi dan pelamin pula direka cantik Rekateemor.
Walaupun serba ringkas sempena menghormati prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan, Noor Nabila bersyukur majlis berjalan lancar dihadiri anggota keluaga dan kenalan terdekat.
“Alhamdulillah semuanya berjalan serba ringkas dan mematuhi SOP.
“Hanya dihadiri ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan rapat sekitar 20 hingga 30 orang tetamu saja. Kita buat yang wajib saja selain bersederhana.
“Apa yang penting kami mahukan keberkatan. Kami pun tak merancang nak buat majlis lain selepas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Nabila turut menafikan desas-desus yang mereka mengikat tali pertunangan seperti digembar-gemburkan sebelum ini.
Katanya, bibit percintaan mula hadir selepas mereka berkongsi minat yang sama iaitu sukan berbasikal.
“Memang kami tak bertunang seperti yang disangka. Saya mula mengenalinya sekitar Ogos tahun lalu. Waktu itu kami hanya berkawan.
“Hanya sekitar hujung tahun lalu kami mula rapat. Malah sama sama berkongsi minat sama termasuk dalam sukan berbasikal,” katanya.
Mengenai suaminya, Nabila menyifatkan hubungan antara mereka mekar tanpa diduga dan berharap untuk sama-sama lakukan terbaik kerana masing-masing pernah merasai pengalaman berumah tangga sebelum ini.
“Masing masing sudah matang dan dah tahu apa yang diinginkan dalam pasangan hidup.
“Insya-Allah kami akan buat yang terbaik dan sentiasa ada untuk satu sama lain,” katanya
Pasangan berkenaan mencetuskan tanda tanya apabila muncul gosip mengaitkan mereka kononnya menjalinkan hubungan cinta.
Mereka juga berkongsi gambar aktiviti berbasikal bersama teman lain melalui paparan foto dalam laman sosial.
Lebih disensasikan apabila foto Engku Emran yang dikatakan menyertai majlis usrah bersama Ustaz Wadi di kediaman Nabila tular baru baru ini.
Nabila bercerai dengan pelakon Sharnaaz Ahmad pada Julai tahun lalu selepas hampir setahun berdepan kemelut rumah tangga. Mereka dikurniakan anak lelaki diberi nama Jebat Jayden.
Engku Emran pula berpisah dengan Laudya Cynthia Bella juga pada Julai tahun lalu, selepas dua tahun mendirikan rumah tangga bersama pelakon dari seberang itu.
Dia sebelum itu pernah berkahwin dengan Erra Fazira dan dikurniakan cahaya mata, Engku Aleesya.