Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pernah alami sendiri, Jamal kata 'terkucil' atas pentas itu normal

Bagi seseorang penyanyi memang 'terkoyak' semasa melakukan persembahan bukanlah sesuatu yang luar biasa, kata Jamal Abdillah.

Menurut raja pop nengara itu kecacatan sebegitu kadangkala tidak dapat dielakkan. Justeru tidak ada yang aneh apabila Nabila Razali gagal menyampaikan lagu dengan sepatutnya semasa berada di atas pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) baru-baru ini.

“Lakukan kesilapan semasa menyanyi satu perkara biasa... terkucil ke, terpelanting ke, ia normal.

"Sebabnya dada gemuruh tu memang akan ada. Kadangkala memang tak boleh nak elak walaupun dah buat persediaan serta perancangan teliti.

“Apatah lagi jika penyanyi tu kurang sihat, kurang praktis atau atas pelbagai faktor lain,” katanya.

Pemilik nama penuh Jamal Ubaidillah Mohd Ali itu mengakui dia juga antara penyanyi yang pernah merasai sendiri pengalaman ‘terkucil’ di pentas.

“Saya sendiri pernah tergelincir ketika menyanyi. Kejadian tu pernah berlaku apabila saya dipenuhi jadual padat dan tidak banyak berehat,” katanya.

Jamal ditemui pada majlis pelancaran Neraca di Symphony Auditorium, Petaling Jaya, Selangor. Turut hadir rakan duet lagu berkenaan, Luca Sickta dan Kmy Kmo.

Tak boleh salahkan juri

AJL35 yang berlangsung di Auditorium Bandaraya Shah Alam, Selangor pada 15 Mac lalu menyaksikan Nabila atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd Razali itu mendendangkan lagu Peluang Kedua ciptaan Hael Husaini dan MFMF.

Peluang Kedua bersaing merebut gelaran bersama 11 lagu lagi. Gila nyanyian Kaka Azraff, Noki dan Loca B mengungguli AJL kali ini.

Peluang Kedua menjadi buah mulut peminat gara-gara kesilapan pada persembahan Nabila dengan sesetengah orang mengecamnya namun tidak kurang juga yang terus memberikan kata-kata sokongan.

Namun, Jamal, 61, berkata insiden dialami Nabila yang juga pelakon itu tidak wajar dijadikan penghalang untuk dia terus berusaha dalam bidang diceburi.

“Teruskan berusaha untuk pertandingan-pertandingan akan datang," katanya.

Pada masa sama, Jamal yang menyandang tempat ketiga AJL35 melalui lagu Belenggu Rindu yang dinyanyikan dengan Wany Hasrita itu berkata, kuasa penjurian tidak boleh dinafikan namun kebarangkalian terdapat unsur favouritism atau pilih kasih.

“Dalam mana-mana pertandingan, akan unsur favouritism. Bayangkan ada 10 juri profesional, tak boleh salahkan hanya seorang juri jika keputusan tidak menepati selera.

“Juri pun ada kegemaran mereka sendiri. Mungkin ada lagu yang layak, ditambah pula mempunyai faktor komersil dan populariti.

“Saya percaya, semua yang bertanding di AJL35 layak berada di pentas tersebut dan juri telah melakukan tugas mereka dengan baik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS