Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tawaran secara solo tak buat Azmi lupa Caliph Buskers

Meskipun sering menerima tawaran untuk menyanyi solo, penyanyi Azmi Saat mengakui dia tidak pernah melupakan kumpulan yang menaikkan namanya, Caliph Buskers.

Kata Azmi, dia sentiasa mencari peluang dan ruang untuk mengekalkan silaturahim dengan empat anggota kumpulan lain iaitu Zaki Ismail (bass), Fendy Abdullah (dram), Nirwan Zainalabidin (gitar) dan Nadira Rubiana (shaker).

“Walaupun sering diberi tawaran menyanyi solo, saya tak pernah lupakan kawan-kawan. Tambahan pula bila ada rezeki lebih, saya selalu belanja mereka makan,” katanya.

Pemilik nama penuh Khairul Azmi Mohd Saat itu ditemui pada majlis ramah mesra artis naungan Universal Music Malaysia di Bysnc Studio, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Azmi, 33, tampil mempersembahkan lagu berjudul Tulus yang dilancarkan beberapa bulan lalu.

Dia berkata pada awalnya memang sukar untuk membiasakan diri dengan situasi itu terutama ketika ada sedikit perselisihan faham membabitkan kerjaya yang dibina bersama.

Katanya, pertikaian timbul kerana dia dibimbangi mungkin akan mengenepikan peranannya sebagai vokalis Caliph Buskers.

“Saya pernah masuk sebuah program hiburan pada 2018, namun undangan yang diberikan adalah secara solo. Perselisihan antara kami bermula dari situ.

“Bukan apa, mereka cuma risau jika saya ambil keputusan bergerak secara solo dan tinggalkan kumpulan kami,” katanya.

Pun begitu, Azmi berkata dia bersyukur apabila kekeruhan itu tidak berlarutan selepas dia menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap Caliph Buskers

“Saya kena tunjukkan walau ada kerjaya solo, saya tidak mudah melupakan kawan-kawan dan masih boleh beri komitmen 100 peratus,” katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai Tulus, Azmi berkata lagu tersebut dicipta 13 tahun lalu sewaktu menunggu keputusan STPM.

Katanya, dia sejujurnya tidak yakin untuk mengetengahkan lagu itu namun ia berubah setelah bertemu penerbit dan penggubah lagu, Ezra Kong.

“Lagu ni ditujukan khas untuk kekasih saya yang juga isteri. Apa yang saya luahkan adalah perasaan cinta padanya. Ia juga lagu pertama ciptaan saya.

“Lebih istimewa, Tulus turut mendapat sentuhan Ezra Kong,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS