Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
ULASAN | Kaji semula Dasar Filem Negara untuk pacu industri

ULASAN SENI | Berbanding industri lain yang kebanyakannya wujud atau berkembang selepas kemerdekaan, sejarah industri perfileman di Malaysia boleh dikatakan agak panjang.

Jika filem Laila Majnun (1933) boleh diambil kira sebagai permulaan sejarah perfileman di Tanah Melayu (kemudiannya Malaysia), usia industri perfileman di Malaysia kini sudah mencecah 88 tahun. Namun begitu, ia tidak menampakkan sebarang perkembangan.

Walaupun industri ini berjaya melahirkan beberapa syarikat terkemuka seperti Malay Film Productions, Cathay-Keris Productions dan Nusantara Film Productions di Singapura serta Merdeka Studio di Kuala Lumpur, kemerosotan industri filem yang sudah bermula pada tahun 1960-an hingga 1970-an tidak lagi mampu dipulihkan.

Ia fenomena biasa di seluruh dunia. Hollywood sendiri mengalami kemerosotan penonton 20 tahun lebih awal iaitu ketika industri di Malaysia baru bermula.

Beberapa kajian mendapati kehadiran televisyen di negara ini pada 1963 menjadi salah satu faktornya. Ia ditambah pula dengan berpisahnya Singapura dari Malaysia pada 1965 serta kebanjiran filem Indonesia, Hong Kong, Bollywood dan Hollywood.

Hanya setelah Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan, barulah industri filem kembali rancak dengan tertubuhnya beberapa syarikat perfileman bumiputera seperti Sari Artist milik Sarimah Ahmad dan suaminya ketika itu, Yusof Majid, dan Perusahaan Filem Malaysia (Perfima) milik P Ramlee, Jins Shamsuddin, Jaafar Abdullah dan HM Shah.

Namun hala tuju industri filem masih tidak jelas kerana belum ada agensi khusus untuk merangka dasar dan mengawal selia kegiatannya.

Penubuhan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada 1981 seperti membawa satu rahmat kepada industri filem. Harapan itu semakin menggunung apabila Finas diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Akhirnya, filem diangkat sebagai komoditi ekonomi.

Bagaimanapun harapan itu hanya menjadi impian apabila Finas dipindahkan ke Kementerian Penerangan lima tahun kemudian. Penggabungan Finas dan Filem Negara Malaysia pada 2012 juga tidak membawa sebarang impak kepada industri filem.

Pengumuman tinggal pengumuman

Apabila Finas berpindah kementerian, filem tidak lagi dianggap sebagai komoditi ekonomi tetapi sebagai aktiviti seni dan hiburan semata-mata.

Kebanyakan penerbit filem ketika itu bergerak sendiri dengan modal yang terhad. Yang mampu bertahan hanya beberapa syarikat seperti Jins Shamsudin Productions, Sarimah Film Productions, Kay Film Productions, ZHA Film Productions, Angkatan Seniman Abad XX Film Productions dan Cinematic - sekadar menyebut beberapa contoh.

Jelas bahawa penerbit filem pada masa itu masih kehilangan arah kerana tidak ada dasar yang jelas mengenai arah haluan mereka. Apa yang mampu mereka lakukan hanya melaksanakan projek penerbitan jika ada modal dan menyertai festival filem yang diadakan saban tahun.

Usaha menggerakkan pembentukan Dasar Perfileman Negara seharusnya menjadi agenda utama Finas apabila ditubuhkan dulu namun ia tidak berlaku seperti sepatutnya.

Hanya 10 tahun selepas penubuhan Finas barulah kedengaran usaha itu mula digerakkan apabila Menteri Penerangan Mohamed Rahmat mengumumkan Dasar Perfileman Negara akan digubal pada pertengahan 1992 bagi memastikan perkembangan industri perfileman tempatan sejajar dengan matlamat Wawasan 2020.

Mohamed Rahmat

Malangnya pengumuman itu hanya tinggal sebagai pengumuman selepas tiada sebarang tindakan susulan diambil sehingga langkah pertama ke arah penggubalannya dilakukan pada 1997.

Bagaimanapun tiada maklumat mengenai pewartaannya walaupun setelah ia dipinda pada 2005.

Lebih mengecewakan apabila Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) diluluskan pada 2010, filem semakin dipinggirkan. Peruntukan dalam Dasar Filem Negara (DFN) 2005 hanya dijadikan asas kepada pembentukan DIKN yang berpaksi kepada multimedia, seni budaya dan warisan budaya.

Perlu ada hala tuju jelas

Penggiat industri terutama pertubuhan perfileman termasuk Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) berpandangan industri filem mesti mempunyai dasarnya sendiri bagi memudahkan pelaksanaan program pembangunannya.

Ini kerana industri filem terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedangkan kebanyakan entiti yang terbabit dalam DIKN berada di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Ketika dilancarkan dulu ia memang sesuatu yang ideal kerana kesemua entiti itu berada di bawah kementerian yang sama iaitu Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Sebagai salah satu pemegang taruh industri, FDAM menyarankan agar Finas lebih proaktif melaksanakan program pembangunan filemnya selaras dengan perkembangan teknologi digital serta berteraskan Revolusi Industri 4.0.

Ia bagi memastikan industri filem mempunyai hala tuju yang jelas. Ia juga penting bagi mendepani keruncingan ekonomi yang turut menjejaskan industri filem.

Kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat kejayaan industri filem di luar negara. Indonesia misalnya mempunyai dasar perfileman yang cukup mantap. 

Undang-undang Republik Indonesia 1992 menggariskan dasar, arah dan tujuan industri perfilemannya ialah sebagai media komunikasi massa, pandang dengar, mempunyai fungsi penerangan, pendidikan, pengembangan budaya bangsa, hiburan dan ekonomi.

Banyak negara melaksanakan dasar yang jelas agar industri filem mereka dapat bertahan sebagai produk yang boleh dieksport ke luar negara. 

Korea Selatan dan Perancis adalah contoh terbaik mengenai negara yang menekankan kepentingan elemen budaya dalam dasar filem mereka bagi memastikan keaslian budaya terutama aspek bahasa dikekalkan.

Sudah sampai masanya Finas sebagai agensi tunggal yang mengawal selia industri filem mengkaji semula DFN 2005 bagi memastikan program pembangunan filem menjadi agenda utama.

Biarlah program lain seperti latihan, kebajikan dan penerbitan menjadi urusan penggiat industri.

FDAM sebagai tunjang industri sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Finas bagi merealisasikan agenda menjadikan DFN 2005 sebagai teras pembangunan industri filem negara.

Tumpuan kita ketika ini adalah membangunkan industri perfileman negara supaya lebih berdaya saing serta menjadikan Malaysia sebagai hub perfileman serantau.


AHMAD IBRAHIM ialah presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS