Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ghaz kecewa Bulan & Pria Terhebat tak lama di pawagam
Diterbitkan:  Mar 13, 2021 12:34 PM
Dikemaskini: 6:37 AM

Sama seperti sutradara lain, Ghaz Abu Bakar juga menyimpan impian besar untuk melihat filem terbaru garapannya, Bulan & Pria Terhebat mencatat kejayaan luar biasa apabila ditayangkan di pawagam.

Ketika ditayangkan serentak selama lima hari di pawagam tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam pada 12 Mac tahun lalu, filem yang menampilkan Zahirah MacWilson dan Zizan Razak sebagai teraju utama itu menerima pelbagai reaksi positif.

Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak lama apabila filem terbitan Nizra Entertainment itu terpaksa dihentikan tayangan, susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac tahun lalu.

"Secara peribadi, saya agak kecewa kerana tidak dapat berkongsi pengalaman mendengar gelak ketawa bersama penonton di pawagam. Namun, saya melihat keputusan menayangkan filem itu di skrin televisyen dari sudut positif.

"Saya percaya filem ini akan dapat ditonton lebih meluas apabila disiarkan menerusi Astro First dan berharap penonton akan mengulang langganan untuk menikmati kepuasan tontonan yang sebenar.

"Saya juga mengharapkan pandangan daripada semua penonton kerana ia memberikan saya semangat untuk terus berkarya dan menghasilkan karya yang lebih bermutu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ghaz berlata pengkarya turut berdepan situasi mencabar, terutama berkaitan garis panduan atau SOP di pawagam yang membataskan jumlah penonton dan  secara tidak langsung memberi kesan dari sudut kutipan tayangan.

Risau isu cetak rompak

Menyambut baik kehadiran platform penstriman digital dan Over The Top (OTT) seperti Astro First yang disifatkannya sangat membantu pengkarya dalam mengharungi cabaran pandemik, Ghaz turut melihat ia sebagai pemacu semangat untuk mereka terus mengetengahkan karya kepada khalayak.

"Cuma, perkara yang paling merisaukan pengkarya dari sudut isu cetak rompak kerana ia lebih mudah berlaku menerusi platform penstriman digital. Saya berharap pihak pengedar akan memantau secara serius perkara ini.

"Dari satu sudut lain, saya yakin filem ini akan dapat menemui penonton secara lebih menyeluruh apabila ditayangkan menerusi Astro First," katanya.

Terdahulu, penerbit yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Nizra Entertainment, Nik Iruwan Nik Izani berkata, tempoh singkat tayangan menyaksikan filem itu mendapat sambutan positif penonton di ketiga-tiga negara.

“Filem ini sempat ditayangkan selama lima hari di pawagam pada Mac tahun lalu, tetapi terpaksa dihentikan tayangannya berikutan pelaksanaan PKP. Namun, sambutan yang diberikan penonton begitu positif.

"Setelah berbincang dengan rakan penerbit dan mengambil kira faktor semasa, kami memilih untuk menayangkan Bulan & Pria Terhebat di platform Astro First.

"Harapan kami, kehadiran filem ini dapat menghiburkan penonton dengan hasil kualiti produksi yang menampilkan keunikan tersendiri," katanya.

Selain menggandingkan Zahirah dan Zizan, serta kemunculan Maya dan Khir, Bulan & Pria Terhebat turut menampilkan kehebatan lakonan Bell Ngasri, Didie Alias, Rashidi Ishak, Alif Hadi, Mimi Ernida, Aprena Manrose, Marissa Yasmin, Sofia Dendroff, Sein Qudsi, dan Yus Noor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS