Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Masalah Covid-19 yang mempengaruhi suasana pembelajaran mungkin boleh menjejaskan kesihatan emosi pelajar selain mencetuskan kesan tidak diingini sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Bagi penyanyi Nuha Bahrin, biar apa pun tekanan dan ujian sedang didepani, setiap pelajar wajar mengamalkan sikap sabar demi menahan diri daripada terjebak perkara yang merugikan.

Dia yang juga seorang penuntut peringkat ijazah sarjana muda di sebuah universiti swasta di Cyberjaya, Selangor itu berkata, hanya dengan belajar bersabar, seseorang itu mampu menangani masalah yang dihadapi.

“Saya bukannya baik sangat, tapi sejujurnya memang tak pernah terlintas dalam hati nak cakap atau bersikap demikian kepada sesiapa pun apatah lagi pada guru.

“Justeru, saya harap semua pelajar dapat sentiasa amalkan sikap sabar. Apa yang kita hadapi sekarang ni mungkin takkan begini buat selama-lamanya. Bersabarlah dan Allah akan membantu suatu hari nanti.

“Fikirkan orang lain yang berdepan tempoh lebih sukar daripada kita sampai tak ada makanan atas meja nak dimakan pun atau terpaksa dibuang kerja ketika ini,” katanya.

Pemilik nama penuh Nuha Sakinah Saiful Bahrin itu ditemui pada sesi suai kenal bersama artis Universal Music Malaysia di Bysinc Studio, di Taman Persiaran Desa, Kuala Lumpur semalam.

Turut diraikan dalam sesi itu adalah penyanyi Eemrun, Azmi Saat, Asyraf Nasir, Siqma dan FML.

Terdahulu, tular imej dua remaja menunggang motosikal sambil memakai pakaian seragam sekolah tertulis perkataan mencarut guru. Salah seorang daripada pelajar terbabit juga tidak memakai topi keledar.

Kedua-dua mereka didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu Kelantan atas tuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 hari ini.

Nuha, 20, berkata, sikap mencarut guru sama ada melalui komunikasi verbal atau non verbal tidak wajar menjadi ikutan.

Namun, pada masa sama, Nuha tidak menolak sekiranya salah laku itu mungkin berpunca daripada persekitaran tidak sihat.

Katanya, dalam hal tersebut, ibu bapa memainkan peranan amat penting dalam membentuk tingkah laku anak-anak.

“Memang kita tak boleh nak salahkan ibu bapa semata-mata atau pelajar itu sendiri. Cuma apa boleh saya katakan, ibu bapa harus memantau sikap anak mereka.

“Dan mungkin juga disebabkan kerana faktor masih muda, pelajar terbabit tidak sedar apa yang dilakukan atau kata-kata dilontarkan tidak sesuai dan biadab," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS