Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jiwa Pusing lahir dari kegelisahan Tuju nak bantu ibu bapa

Tidak banyak boleh direncanakan Tuju untuk memberikan keselesaan buat ibu bapanya yang sudah dimamah usia ketika 'bekalan' yang ada hanya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Justeru kata salah seorang anggota kumpulan K-Clique itu, dia cuba mengatur perjalanan hidupnya, bermula dengan menjadi tukang cuci kereta sebelum nekad merantau dari Kota Kinabalu, Sabah ke Kuala Lumpur.

“Saya fikir hidup ni memang tak ada masa depan walaupun masa tu baru berusia sekitar 21 tahun.

“Apa akan jadi dengan kehidupan saya dalam lima tahun akan datang? Dapatkah saya sebagai anak sulung bahagiakan papa dan mama. Mereka semakin berusia, bukannya semakin muda. Dapatkan saya berkahwin?

“Jiwa pusing apabila ramai kawan dapat menyambung pelajaran tapi saya pula tidak. Justeru, saya cuba cari jalan penyelesaian dengan bekerja sebagai tukang cuci kereta,” katanya berkongsi cerita.

Tuju atau nama sebenarnya Muhammad Azree Shah Awang Zamri berkata demikian pada sidang media pelancaran lagu solo terbarunya, Jiwa Pusing, secara maya baru-baru ini.

Bagaimanapun Tuju berkata jiwanya semakin bertambah “pusing” dan menjadi tidak tentu arah apabila keputusannya merantau ke ibu negara berdepan dugaan yang pelbagai.

Luahan hati hidup dalam gelap

Kata Tuju, air matanya tumpah setiap kali mengenangkan nasib hidup yang didepani di Kuala Lumpur ketika itu.

“Memang tak ada duit, poket kosong sebaik tiba di sana (Kuala Lumpur) sebab bayar wang deposit rumah dan beli pelbagai barang keperluan lain.

"Saya seorang diri, setiap malam duduk menangis di tepi tingkap,” katanya.

Menurut Tuju, 24, dia terpaksa memberanikan diri keluar dari zon selesanya demi masa depan sendiri dan melunaskan hasrat antaranya membawa kedua ibu bapanya menunaikan umrah.

Kata suami penyanyi rap Loca B itu, biarpun laluan hidup ditempuhinya amat sukar, dia tetap bersyukur kerana masih mendapat sokongan ibu bapa dan rakan-rakan yang kini dianggapnya seperti keluarga sendiri.

“Saya bersyukur kerana semasa berdepan tempoh gelap, papa dan K-Clique banyak bagi semangat. Bapa pun bagitahu tak ada perkara yang tiada jalan penyelesaian,” katanya.

Mengulas mengenai Jiwa Pusing, Tuju berkata, karya itu baru dapat diterbitkan selepas terperam dua tahun disebabkan beberapa cabaran serta pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Jiwa Pusing dicipta pada 2019 dan ini adalah luahan hati dan ceritakan bagaimana kehidupan saya ketika dalam 'gelap'," katanya

Tuju pada masa sama meluahkan perasaan syukur susulan kejayaan K-Clique selain berpeluang mendirikan rumah tangga bersama Loca yang juga seorang ibu tunggal anak satu sebelum ini.

Hasil perkongsian hidup dengan Loca, pasangan itu menimang anak perempuan, Bintang Aiko, yang baru berusia tiga bulan. Loca pula sebelum ini dikurniakan anak lelaki Yusuf Alezander hasil perkahwinan terdahulunya.

“Bila dah sampai tahap ni, tak ada kata-kata lain selain bersyukur setiap hari. Kita mahu jadi lebih baik, tapi jika perlu puaskan hati orang lain, susah. Kita perlu puaskan hati sendiri terlebih dulu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS