Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerana kontroversi artis K-pop Janna dapat ugutan bunuh

Gara-gara terpalit kontroversi artis K-pop, pelakon dan pengacara Janna Nick mendakwa dia menerima ugutan bunuh baru-baru ini.

Justeru kata Janna, dia tidak ada pilihan kecuali melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa dan meneruskan tindakan undang-undang terhadap individu yang mengugut serta menyerangnya secara peribadi.

“Saya menerima beberapa ugutan jenayah seperti bunuh, sebab tu terpaksa ambil tindakan (buat laporan) polis,” katanya dalam sidang media khas berhubung perkara itu yang diadakan secara maya hari ini.

Turut hadir peguam mewakili Janna, Ben Syazmin dari Tetuan Tan Norizan & Associates yang memberi penjelasan terhadap isu tular serta tindakan undang-undang bakal diambil pelakon Cari Aku Di Syurga itu.

Bagaimanapun, disebabkan tidak mahu menganggu siasatan, pemilik nama asal Nur Jannah Muner itu mendakwa, dia tidak boleh memberikan sebarang perincian mengenai laporan tersebut.

“Saya minta maaf, tak ada masalah nak bercerita pada media. Tapi sebab (polis) dah buka siasatan, saya tak dibenarkan oleh peguam untuk memberi sebarang komen lanjut,” katanya. 

Janna pada 22 Februari lalu dalam satu kenyataan menjelaskan dia sudah membuat laporan polis dan mengadu pada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia susulan komen keterlaluan terhadapnya.

Ambil tanggungjawab minta maaf

Sementara itu Ben berkata, selepas laporan polis dibuat Janna dipanggil dan keterangannya sudah direkodkan.

Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika disabitkan kesalahan, mereka yang terlibat boleh dijatuhkan hukuman denda serta penjara hingga tujuh tahun.

Sejak akhir-akhir ini, Janna, 25, dikecam selepas didakwa mengaitkan nama anggota K-pop terkenal, Blackpink Lisa atau Lalisa Manoban sebagai Lisa Blackpig menerusi telefilem pertama arahannya, Delen.

Dia juga menyahaktifkan akaun media sosialnya buat sementara waktu bagi mengelak keadaan bertambah keruh.

Pun begitu, pada sidang media sebentar tadi, Janna mengambil kesempatan itu untuk memohon maaf berhubung isu menghimpit dirinya ketika ini.

“Saya sebagai pengarah dan produser untuk telefilem Delen mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf kepada semua yang terasa hati dan terguris hati akan kapsyen tersebut,” katanya ringkas.

Selain itu, nama pelakon Syurga Nur itu juga kembali panas selepas sebuah rakaman klip video pada 2018 yang memaparkan dia seolah-oleh mempersendakan kematian bintag K-pop, Kim Jong-hyun disensasikan semula.

Namun Janna sebelum ini juga ada membuat permohonan maaf sambil memegang al-Quran bagi menjernihkan situasi terutama dalam kalangan peminat K-pop. 

Mengulas isu video yang ditularkan kembali itu, Janna berkata, dia terpaksa mengambil tindakan serius kerana namanya masih lagi dikaitkan walaupun selepas tiga tahun video tersebut muncul di platform media sosial.

“Ada yang menuduh saya orang Islam tapi tak menghormati kematian orang bukan Islam atau sesiapa pun yang sudah meninggal dunia.

“Saya tegaskan, sama sekali tidak akan mempermainkan isu sebegini. Itu bukan saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS