Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Adibah dicadang tabur jasa jadi 'guru BI teragung di Malaysia'
Diterbitkan:  Feb 18, 2021 9:43 PM
Dikemaskini: 1:48 PM

Gara-gara tindakannya rajin membetulkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan personaliti umum, pelakon dan pengacara terkenal Adibah Noor dicadang memanfaatkan kemahirannya dengan lebih meluas.

Seorang pengguna Facebook hari ini misalnya mencadangkan Adibah membuat kelas dalam talian dan terbuka untuk semua.

Membayangkan Adibah akan menjadi "guru bahasa Inggeris paling agung di Malaysia" Khairul Hakimin Muhammad melontarkan saranan tersebut dan disambut dengan reaksi positif ramai.

"Akak live (siaran langsung) setiap 8 malam dengan topik pronunciation ikut perkataan/ayat sesuai peringkat umur.

"Akak akan jadi guru BI paling agung di Malaysia. Saya support akak," tulisnya.

Saranan Khairul mendapat perhatian warga maya yang memberi semangat serta sokongan kepada Adibah supaya menjayakannya.

Untuk rekod pada 15 Feb Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun kembali menjadi buah mulut warganet selepas dilihat kekok memberi ucapan dalam bahasa Inggeris menerusi satu persidangan secara maya baru-baru ini.

Menyedari kekoknya Rina ketika berucap dalam persidangan Suruhanjaya Pembangunan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Sesi ke-59, Adibah yang pelakon dan penyanyi mengambil inisiatif memperbetulkan sebutan Rina.

Menerusi Twitter, Adibah memuat naik klip video cara sebutan yang betul perkataan "doubt" sambil berkongsi ilmu berkenaan dengan pengikutnya di media sosial.

“Saya akui, penulis skrip (ucapan Rina) sangat bagus dan saya harap saya dapat membacanya sendiri.

“Apa-apa pun, mari kita belajar menyebut perkataan ini, doubt. Saya dah pernah buat video tentang ini tapi mungkin anda dah lupa," kata Adibah.

Teguran Adibah itu bagaimanapun mendapat kecaman segelintir warganet.

Selepas saranan Khairul Hakimin - yang turut menanda Adibah - mendapat respon positif warganet, penyanyi Terlalu Istimewa itu tampil memberikan reaksi.

Menulis diruangan Komen, Adibah berkata dia sedia untuk mempertimbang saranan berkenaan.

"Terima kasih, saya terharu insya-Allah saya akan fikir-fikirkan," kata Adibah. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS