Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelan awal selamatkan Shaheizy, Syatilla dari dampak ekonomi PKP

Bersiap-siap dengan payung sebelum hujan - itu 'petua' yang diambil pelakon Shaheizy Sam dan isterinya, Syatilla Melvin semasa dunia belum lagi dilanda Covid-19.

Justeru pasangan itu bersyukur kerana tindakan awal mendalami ilmu sekali gus menubuhkan perniagaan berjaya membantu mereka mengharungi situasi ekonomi yang tidak menentu ketika Covid-19 menular.

Syatilla atau nama penuhnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin menjelaskan, melalui perniagaan itu jugalah mereka suami isteri beringat-ingat untuk menyimpan wang demi masa depan.

“Alhamdulillah, kami antara artis yang tidak terjejas ekonomi sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kami dah rancang terlebih dulu untuk berniaga, dan terbaru kami usahakan perniagaan bersama untuk produk minuman jamu Pengaseh," katanya.

Menurut Syatilla lagi sewaktu mula menceburkan diri sebagai pelakon sepenuh masa dia memang tak belajar ilmu untuk menyimpan duit dengan serius.

“Sememangnya saya bersyukur berpeluang dapat masuk ke dunia perniagaan kerana lepas tu mula belajar bagaimana nak ketepikan duit untuk simpanan apabila keadaan memerlukan,” katanya.

Tiada ilmu tak tahan lama

Syatilla, 30, berkata demikian pada sidang media sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima di Shah Alam baru-baru ini. Sidang media itu diadakan secara maya.

Bagi sambutan yang diraikan bersama peminat, Shaheizy dan Syatilla memilih lima individu bertuah untuk diraikan bersama pasangan masing-masing dengan membawa mereka bercuti di Golden Sands Resort, Pulau Pinang.

Shaheizy dan Syatilla mendirikan rumah tangga pada 8 Feb 2016. Hasil perkongsian hidup itu, pasangan berkenaan dikurniakan Syeriv Samheizy yang kini berusia lebih 3 tahun dan Sarima Samheizy hampir 2 tahun.

Untuk rekod, Pengaseh bukanlah perniagaan pertama diusahakan mereka.

Ditanya mengenai peluang seseorang untuk berjaya dalam perniagaan akan lebih mudah sekiranya mereka popular, pelakon drama Dalam Setiap Sujud itu menafikan perkara tersebut.

“Sama sekali tak. Jika orang itu hanya ada populariti tapi tak ada ilmu berniaga, memang tak akan bertahan lama.

"Ramai artis keluarkan produk jenama sendiri tapi tak sampai setahun dah bungkus,” katanya.

Bagi Shaheizy atau lebih mesra disapa Sam pula, dari sudut karier, katanya jika seorang individu berada terlalu lama dalam zon selesa boleh membuatkan mereka mudah menjadi alpa.

Perlu pendinding hadapi hasad

Justeru kata pelakon berusia 38 tahun itu, seseorang itu perlu berani membuat pilihan untuk menjana pendapatan lebih melalui cabang yang berbeza-beza.

“Walaupun dah berumur, saya buang ego dalam diri, belajar dari bawah dan jangan takut untuk mulakan langkah itu. 

"Saya korbankan karier lakonan untuk ceburkan diri dalam perniagaan selepas membintangi filem Polis Evo,” katanya.

Menurut Shaheizy, pengorbanan itu dianggap berbaloi terutama ketika jumlah kes berkaitan Covid-19 belum menunjukkan keadaan akan reda.

“Alhamdulillah. Sekarang, bidang lakonan saya anggap sebagai sumber pendapatan kedua saja, apatah lagi dengan pandemik yang melanda,” katanya.

Sementara itu, mengulas pelindung daripada gangguan syaitan sekiranya berdepan saingan berhasad dengki dalam perniagaan, Shaheizy berkata lumrah wujud perkara ghaib sedemikian.

Namun, katanya, dia hanya mampu berserah kepada Allah.

Syatilla pula memberitahu, seboleh-bolehnya dia akan berikhtiar untuk bersedia dengan pendinding diri.

“Saya ada merancang untuk sediakan pendinding diri dengan bertemu ustaz. Musuh paling jahat kadangkala adalah orang yang paling dekat dengan kita,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS