Presiden Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez bersedia disaman Public Performance Malaysia (PPM) dan akan menjawab isu yang didakwa ke atasnya di mahkamah.
Tetap dengan pendiriannya Freddie mendakwa apa dilontarkannya sebelum ini mempunyai asas selain bertujuan membela nasib anggota Karyawan.
Katanya apa dilontarkan adalah suara hati ahli Karyawan.
“Lebih 20 tahun saya berjuang untuk perkara seperti ni dan segala permainan badan-badan sebegini cukup saya fahami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan PPM memulakan tindakan undang-undang ke atas Freddie mereka mendapati dia dan Karyawan berterusan memfitnah dan menjejaskan reputasi mereka sebagai badan pelesenan sah bagi menjalankan kutipan royalti.
Surat tuntutan (letter of demand) dikeluarkan kepada Karyawan dan Freddie pada 12 Nov tahun lalu menuntut agar permohonan maaf dibuat secara terbuka, menarik balik kenyataan fitnah yang dibuat dan menghentikan penyebaran kenyataan fitnah yang seterusnya terhadap PPM.
Namun, kata Presiden PPM, Rosmin Hashim, Karyawan dan Freddie enggan berbuat demikian.
Susulan itu, satu penyataan tuntutan (statement of claim) ke atas Karyawan dan Freddie diserahkan pada 12 Jan lalu.
Freddie, 68, berkata pada awal dia memang menyokong penuh badan-badan pengutip royalti yang ada namun mendakwa tawar hati selepas melihat nasib penggiat seni tidak mendapat pembelaan seperti diharapkan.
Justeru kata anggota kumpulan Revolvers itu lagi dia tidak boleh berdiam diri.
“Tak mungkin saya membiarkan nasib ahli dan penggiat seni terus di perkotak-katikkan,” katanya.
Ajak duduk semeja
Bagi Freddie, dalam era pendigitalan muzik, keberadaan syarikat rakaman gergasi adalah dalam keadaan kabur kerana mereka sendiri tidak begitu aktif mengeluarkan album atau lagu baru.
Rata-rata katanya kebanyakan pembikin muzik menjalankan operasi muzik mereka dari semua aspek secara kendiri dan tidak mendaftar dengan PPM sekalipun mereka juga pemegang hak rakaman yang diputar di pelbagai platform media dan berhak mendapatkan royalti.
“Justeru, kutipan yang dikutip tidak mewakili keseluruhan pemilik hak cipta rakaman muzik.
“Ekosistem muzik telah pun berubah 360 darjah pada era big data ini, jadi saya berharap para penggiat seni juga harus lebih memahami hak anda.
“Jangan biarkan sistem kapitalis yang mencengkam terus mempermainkan anda kerana keuntungan mereka perolehi sebenarnya hasil daripada apa yang anda miliki,” katanya.
Freddie turut berpesan kepada PPM agar tidak menjolok sarang tebuan kerana ia boleh mendatangkan kerugian pada badan itu sendiri.
“Saya ada sedikit nasihat kepada PPM. Jangan jolok sarang tebuan. Ia akan membawa padah kepada anda dan industri muzik keseluruhannya.
“Ada banyak lagi perkara yang saya boleh bawa ke perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tapi saya rasa lebih baik kita duduk semeja untuk bincang satu penyelesaian yang baik demi masa depan industri muzik,” katanya.