Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pak Man pelukis warisan Pahang perlu lebih dihargai

Rasanya tidak ada apa lagi yang perlu ditulis mengenai Osman Limat, seorang pelukis tua yang tidak pernah tahu erti berehat (daripada berkarya) ini, kecuali sedikit cerita mengenai perkembangan terkini beliau untuk tatapan umum.

Pak Man - begitu kebanyakan orang memanggilnya - sekarang ini tidak lagi seaktif dulu. Sekarang pergerakan Pak Man agak terbatas. Kakinya yang suatu masa dulu gagah mengayuh basikal mendaki bukit kini berbeza.

Siapa yang belum kenal, Pak Man pernah digelar sebagai 'Raja Bukit' dalam sukan lumba basikal.

Selain melukis, Pak Man adalah bekas pelumba basikal negara dan antara kebanggan beliau yang selalu diceritakan ialah dia pernah melatih M Kumaresan.

Kini jika mahu keluar rumah, Pak Man lebih selesa menggunakan kerusi roda. Namun yang menjadi masalah ialah lif tempat beliau tinggal iaitu di Perumahan Rakyat Pak Mahat di Kuantan mengalami kerosakan. Khabarnya sudah lama dan belum dibaiki.

Walaupun pergerakan jadi terbatas, beliau masih tetap menghasilkan karya-karya terbaru dan menerima tempahan daripada pelbagai pihak. Pak Man adalah antara pelukis yang paling awal membuka studio lukisan.

Studio beliau bertempat di Medan Pelancong dibuka sekitar awal 1970-an.

Bersama denga M Shaimy Hashim dan beberapa orang rakan lain, Pak Man turut bersama menubuh Persatuan Seni Lukis dan Seni Reka Pahang (Senika).

Kehadiran selalu dinanti

Senika merupakan antara persatuan pelukis yang paling lama bertahan di tanah air. Walaupun tidak lagi seaktif dulu, apabila saja Senika mengadakan apa-apa aktiviti pameran, Pak Man adalah antara yang paling awal menyahut cabaran.

Beliau dengan setia akan menghantar karya pada setiap pameran yang dianjurkan oleh persatuan tersebut.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Osman Limat dikenali semua orang yang terlibat dalam dunia seni catan negara. Dan seperti yang dinyatakan, beliau juga dikenali oleh mereka yang terlibat dalam sukan lumba basikal.

Beliau adalah figura yang dihormati dan banyak memberi inspirasi kepada seniman. Semangat kental beliau yang tidak pernah jemu berkarya menjadi dorongan kepada seniman yang sebaya beliau, dan tentu saja kepada golongan yang lebih muda.

Semasa masih boleh bergerak bebas, Pak Man akan sentiasa dilihat menyertai apa juga pertandingan seni lukis. Kehadiran beliau memang senantiasa dinanti.

Sikapnya yang gemar meraikan siapa sahaja menjadikan Pak Man mudah didekati. Senda gurau dan juga cerita pengalaman daripada beliau memang selalu dinantikan.

Pak Man adalah seorang yang sentiasa ceria. Jarang malah siapa pun yang mengenalinya pasti akan mendapati beliau seorang yang tidak pernah mengeluh atau mencari susah dalam menjalani hidup.

Semasa masih kanak-kanak, kami sering melihat sebuah karya beliau yang berjudul Permandangan Bukit Sekilau tergantung di rumah keluarga. Mungkin dari situ juga timbul minat dalam diri kami terhadap seni lukis.

Karya-karya beliau yang bersifat naratif itu sepatutnya menjadi koleksi pihak yang bersungguh menyimpan khazanah pelukis negara. Kami juga amat meminati sebuah karya beliau yang berjudul Peristiwa Lubuk Terua.

Lukisan itu menceritakan sejarah penentangan pahlawan tanah air melawan penjajahan British. Sebuah lukisan yang paling lama dan masih disimpan oleh Pak Man adalah karya yang berjudul Lombong Bijih Timah Gambang.

Lukisan ini dihasilkan lebih 50 tahun dulu dan masih digantung di rumah beliau sebagai koleksi peribadi.

Pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan untuk memertabat dan memelihara karya-karya seniman tempatan seharusnya menyimpan karya Pak Man sebagai khazanah negara.

Satu usaha mestilah dilakukan agar karya-karya seniman yang tekun ini tidak hilang begitu sahaja. Sementelah pula Pak Man adalah antara seniman yang paling lama berkarya di negara ini.

Bermula dari 1963 atau 1964, Pak Man dengan gigih terus-menerus melukis sehingga hari ini. Mungkin satu pameran khas juga harus diberikan kepada beliau oleh pihak kerajaan Pahang sebagai menghormati jasanya kepada perkembangan seni catan tempatan.

Hidapi beberapa jenis penyakit

Baru-baru ini kami telah menziarahi beliau. Apa yang dikesalkan, kami mendapati bahawa beliau dan isterinya kini tinggal bersama 13 anak dan cucu dalam sebuah rumah yang berukuran kurang dari 800 kaki persegi.

Dalam pertemuan tersebut beliau tidak berhenti-henti mengucapkan terima kasih kepada wakil rakyat bagi kawasan Inderapura, Shafik Fauzan Sharif, yang berusaha mendapatkan rumah yang beliau diami sekarang ini.

Agak kurang selesa bagi seseorang telah telah agak berusia untuk duduk bersesak dalam sebuah rumah sekecil itu. Tambahan pula untuk Pak Man yang kini berusia 78 tahun dan mengidap beberapa jenis penyakit.

Sedikit keselesaan mungkin dapat meringankan beban sakit yang beliau hadapi.

Mungkin sedikit perhatian diperlukan daripada pihak berwajib agar setiap keluarga yang memohon sebarang kediaman dalam projek perumahan rakyat hendaklah diketahui jumlah penghuninya.

Jika didapati ianya adalah lebih ramai daripada sepatutnya, maka pihak berkenaan harus memikirkan cara bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut. Lagi pun memang itulah sebab mengapa mereka diberikan kuasa, kan?

Bersamalah kita mendoakan kesihatan dan keselesaan kepada pelukis yang digelar sebagai Seniman Warisan Pahang ini. Semoga beliau diberikan kelapangan dalam menjalani kehidupan pada masa ini dan mendatang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS