Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pak Nil nak 'payung' 20-40 orang dapatkan suntikan vaksin Covid-19
Diterbitkan:  Feb 4, 2021 8:20 PM
Dikemaskini: 12:30 PM

Walaupun belum mengetahui berapa kos sebenar vaksin Covid-19, pengacara terkenal Aznil Nawawi menyatakan secara terbuka hasratnya untuk menaja sekurang-kurang 20 hingga 40 individu bagi mendapatkan suntikan berkenaan.

Rancangan itu diluahkan Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil ketika seluruh negara sedang menunggu kedatangan bekalan vaksin tersebut untuk diagihkan secara secara berperingkat.

Aznil, 58, berkata disebabkan orang ramai perlu menunggu giliran - sehingga berbulan-bulan lamanya - untuk mendapatkan suntikan tersebut secara percuma, dia bercadang untuk mendapatkan laluan alternatif sendiri.

Selain itu katanya dia bercadang 'membawa' beberapa individu lain untuk bersamanya.

Menurutnya, mungkin ada peluang untuk mereka mendapatkan vaksin dengan cepat dan dengan bayaran tertentu tanpa perlu menunggu giliran.

“Mungkin ada juga peluang untuk dapatkan vaksin dengan cepat dan tak perlu tunggu giliran. Pak Nil ingat nak ambik yang berbayar. Ada sesiapa nak sertai Pak Nil? Pak Nil tajalah.

“Pak Nil nak ambil suntikan tu sendiri, malas nak tunggu. Jadi nak keluar belanja sedikit bayar. Dah alang-alang Pak Nil keluarkan duit sendiri tu, Pak Nil belanjalah dua, tiga, atau empat puluh orang.

“Tapi taklah ramai sebab harga pun tak tahu lagi,” katanya melalui media sosial.

Hingga Feb tahun depan

Umum mengetahui pemberian vaksin akan diberikan secara berperingkat dengan keutamaan kepada petugas barisan depan serta orang tua berisiko tinggi terdedah jangkitan virus tersebut.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini berkata kerajaan akan memulakan 'roll-out' pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini.

Katanya, program fasa pertama akan melibatkan seramai 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan bukan kesihatan.

Muhyiddin berkata, bagi fasa kedua, ia membabitkan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti risiko Covid-19.

Dan fasa ketiga membabitkan baki penerima vaksin tergolong dalam peringkat umur dewasa dari 18 tahun ke atas yang dijangka bermula dari Mei tahun ini hingga Feb 2022.

Gambar hiasan

Kata Muyhiddin lagi, lebih 600 pusat simpanan yang juga bertindak sebagai pusat pemberian vaksin akan dibuka di seluruh negara.

Mengulas soalan beberapa pengikutnya di Instagram berhubung ‘tikus makmal’ dan keputusan kerajaan untuk mendapatkan vaksin tersebut, Aznil berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana kajian dan penyelidikan sudah dijalankan terlebih dulu.

“Kerajaan sekarang ni nak buktikan yang terbaik. Takkan mereka nak buat silap benda besar macam ni. Mesti kerajaan dah dapatkan penerangan mendalam mengenai vaksin.

“Tikus awal-awal dah dicucuk vaksin. Korang tulah, buta, tak nampak, ramai sukarelawan tampil sebelum vaksin ni diluluskan. Takkanlah bodoh sangat sewenang-wenang nak luluskan (tanpa kajian),” katanya.

Ditanya lagi oleh peminat berhubung kelewatan Malaysia berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Singapura yang sudah menerima vaksin, Aznil menjawab ada hikmah di sebalik yang berlaku.

Korang (kalian) bising Singapura dan Indonesia dapat dulu... biarlah saja mereka ambil dan kita tengok apa perkembangan yang berlaku dulu. Itulah hikmah yang ada.

“Lebih kurang sama saja vaksin yang diambil tu. Jika kita positf, positif la jawabnya, kalau negatif, negatiflah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS