Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
FDAM, Profima dan Seniman memang tiada sambutan - Karyawan
Diterbitkan:  Feb 4, 2021 2:43 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Langkah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menamatkan penyertaan tiga persatuan daripada program Padu Citra adalah wajar kerana penyertaan artis atau sutradara terkenal dalam persatuan tersebut amat sedikit, dakwa Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, berkata kebanyakan artis popular memang memandang sepi persatuan terbabit kerana mereka hanya dipaksa menjadi ahli selain tiada kepercayaan terhadap organisasi berkenaan untuk membela nasib mereka.

Merujuk kepada kenyataan Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) meminta penjelasan Finas berhubung isu itu, Freddie berkata ia perlu diterima organisasi berkenaan walaupun dirasakan pahit.

“Melalui program Padu Citra sebelum ini, mana-mana penggiat seni diwajibkan menjadi ahli kepada FDAM, Profima, Seniman atau Karyawan.

“Walaupun hal (penamatan penyertaan) itu perkara pahit ia harus diterima oleh persatuan terbabit.

"Ia adalah realiti dalam industri yang menghadapi cabaran besar pada era perintah kawalan dan pergerakan (PKP) serta Covid-19 ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam, Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai desakan FDAM, Profima dan Seniman ekoran langkah terbaru diambil Finas berhubung kedudukan mereka dalam Padu Citra.

Kata mereka langkah tersebut membuka ruang untuk wujudnya lambakan produksi luar yang tidak dapat ditangani Finas sendirian.

Padu Citra nak diperkasa

Dalam sidang media diadakan itu ketiga-tiga persatuan terbabit menyifatkan tindakan Finas membelakangkan mereka perlu dikaji semula terutama demi menjaga industri penerbitan kandungan kreatif.

Selain itu, FDAM, Profima dan Seniman - yang disokong Persatuan Penerbit Filem Malaysia, serta wakil penulis, Anuar Idris - mereka mengajak Finas untuk berbincang lebih lanjut berhubung pelaksanaan program Padu Citra. 

Dilancarkan sekitar 1997, Padu Citra merupakan inisiatif menjurus kepada amalan semak dan imbang dalam industri kreatif yang membabitkan wakil agensi kerajaan (Finas) bersama industri kreatif lain yang menjaga dan memantau hal ehwal pembikin serta penggiat seperti filem, iklan, drama dan dokumentari.

Padu Citra mewajibkan pelakon, pekerja dan pengarah filem menyertai persatuan yang diikitraf Finas bagi melindungi hak dan keistimewaan para pekerja industri perfileman negara ini.

Persatuan yang terlibat juga diberi tanggungjawab membantu Finas membekalkan data keahlian yang lengkap dan terkini serta memberi maklumat penggambaran ‘haram’ kepada penguatkuasa agensi itu.

Baru-barui ini Finas mengumumkan penggiat industri penerbitan kandungan kreatif tidak perlu lagi menjadi ahli tiga persatuan berkenaan seperti yang disyarakatkan dalam sijil perakuan penggambaran bermula bulan ini.

Finas juga mengumumkan program Padu Citra akan diperkasa dengan pelaksanaan program akreditasi dan pentauliahan industri kandungan kreatif yang sedang dijalankan melalui pengemaskinian keahlian baru serta penamatan keahlian Padu Citra sedia ada.

Langkah itu diambil susulan tiada penambahbaikan dalam program berkenaan sejak 25 tahun lalu.

Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim atau dikenali sebagai Mat London pula berkata, persatuan sebelum ini menghantar surat untuk mengadakan perbincangan dengan Finas, tetapi didakwa gagal mendapat sebarang respons.

Kata Freddie, persatuan sedia ada jelas tiada persefahaman lagi, bukan saja dengan penggiat seni terkenal malah dengan Finas sehingga agensi terbabit mengambil langkah yang drastik tanpa merujuk mereka terlebih dulu.

“Sudah tiba masanya Finas dibenarkan menentukan hala tuju baru industri dengan mengadakan program akreditasi dan menyokong penubuhan badan-badan baru dalam industri.

“Langkah itu akan membawa tenaga baru dan mendapat sambutan daripada semua penggiat seni, bukan hanya mereka yang rapat atau menjadi kawan kepada ahli jawatankuasa persatuan tersebut," katannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS