Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Jangan biarkan penggiat seni muflis'
Diterbitkan:  Feb 2, 2021 7:11 PM
Dikemaskini: 11:11 AM

Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) merayu kerajaan mempertimbangkan kebenaran untuk industri penerbitan kandungan kreatif menjalankan aktiviti penggambaran program dan televisyen dengan prosedur operasi standard (SOP).

Presiden PTVM, Jurey Latiff Rosli berkata, keresahan penggiat industri masih dirasai apabila kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti ketika hampir seluruh negara diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Sebagai persatuan yang memayungi syarikat penerbitan televisyen, kami ingin merayu pihak kerajaan mempertimbangkan kebenaran untuk aktiviti penggambaran program televisyen yang dijalankan.

“Sejak kerajaan mengenakan PKP di seluruh negara, tiada aktiviti pengambaran dapat dijalankan sehingga menjejaskan pendapatan kepada pekerja di belakang tabir dan pelakon. Keadaan itu turut membuatkan syarikat penerbitan mengalami kerugian akibat kos penerbitan meningkat kerana pembatalan pengambaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Kanan (Kluster Keamanan) Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan PKP yang sepatutnya berakhir pada 4 Februari ini akan dilanjutkan selama dua minggu lagi dengan SOP yang lebih ketat.

Pada masa sama kata Jurey, masalah tersebut juga menjejaskan kontrak antara syarikat penerbitan dan stesen televisyen selain menyebabkan kurang bahan siaran baru kerana banyak program tidak dapat disiapkan mengikut jadual.

“Keadaan ini amat membimbangkan kerana majoriti pekerja industri adalah pekerja bebas (freelancer) yang hanya mendapat bayaran apabila ada kerja.

“Kebanyakan mereka juga tiada duit simpanan untuk terus menjalani kehidupan seperti biasa. Mereka pastinya terhimpit dengan masalah ini dan perlu penyelesaian segera bagi memastikan kesinambungan hidup masing-masing,” katanya.

Meskipun memahami risiko dan bahaya Covid-19, Jurey tetap meminta rayuan penggiat seni dipertimbangkan bagi mengelak ada dalam kalangan mereka jatuh muflis.

“Pihak PTVM merayu agar dapat dipertimbangkan kebenaran pengambaran dengan SOP yang sesuai seperti aktiviti ekonomi sektor lain yang dibenarkan seperti pasaraya, bengkel dan sebagainya bagi membantu meringankan bebanan kepada seluruh warga industri kreatif penerbitan televisyen dan filem tempatan.

“Sesungguhnya kami faham risiko dan bahana musuh yang tidak nampak iaitu Covid-19 tapi kami lebih khuatir dan risaukan kebajikan pekerja serta penerbit yang terlibat.

"Kerana takut sangat dengan Covid ini yang kita faham ianya bahaya tapi bukanlah mustahil untuk kita kawal.

“Virus itu tidak berkaki tidak bersayap, kita mampu menyekatnya dengan kaedah dan SOP yang betul,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS