Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tak setaraf Ebit Lew tapi Hafiz Hamidun tetap mahu hulur bantuan

Sekalipun menyedari usahanya mungkin tidak boleh menyamai apa dilakukan pendakwah terkenal Ebit Lew, Hafiz Hamidun tetap ingin membantu insan yang memerlukan mengikut kemampuannya.

Disebabkan hasrat tidak pernah luntur itulah, dia merancang sebuah konsert secara maya bagi mengumpul dana dan memulangkan ia kembali kepada masyarakat.

Kata Hafiz, melalui hasil kutipan konsert maya berkenaan, sebahagian besar dana tersebut akan digunakan untuk membeli peranti elektronik untuk membantu pelajar yang tidak berkemampuan mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Ia masih dalam proses perangkaan tapi saya dah bersedia untuk sumbangkan zakat melalui Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ- MAIWP).

“Sekarang ni kita tengok memang macam-macam perkara berlaku seperti banjir dan pada masa sama ramai anak-anak nak bersekolah tapi tak ada akses komputer dan sebagainya.

“Saya sentiasa simpati pada orang hidup susah. Saya bukan macam Ustaz Ebit Lew. Namun, saya tetap ada perasaan nak lakukan sesuatu untuk orang ramai,” katanya.

Hafiz berkata demikian pada sidang media pelancaran album studionya yang keenam, Marhaba, di Damansara Perdana Selangor kelmarin. Sidang media itu dijalankan secara maya.

Pelihara data peribadi

Pun begitu, Hafiz, 36, menegaskan tiada sebarang agenda tersembunyi di sebalik usaha yang ingin dilaksanakannya itu.

Sebaliknya, kata Hafiz, dia mahu melakukannya kerana bersimpati terhadap orang yang susah dan memerlukan bantuan.

“Saya nak sumbangkan pada anak-anak bangsa. Tiada agenda individu,” katanya berhubung konsert yang dijadual dirakam bermula bulan depan dan dijangka diadakan sebelum Ramadan itu.

Baru-baru ini, Ebit menghadiahkan 100 tablet kepada murid yang memerlukan bagi mengikuti PdPR apabila sesi persekolahan secara bersemuka masih tidak dapat dijalankan untuk sebahagian besar pelajar.

Ebit berkata, sumbangan itu bertujuan membantu pelajar mengikuti pembelajaran kelas secara dalam talian.

Sesi persekolahan seluruh negara yang dibuka pada 20 Jan lalu memaksa kerajaan mengubah sistem pendidikan yang konvensional secara bersemuka kepada PdPR ekoran peningkatan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, pelaksanaan pembelajaran tersebut menimbulkan pelbagai rungutan daripada ibu bapa kerana tidak mampu untuk menyediakan alat komunikasi kepada anak mereka.

Mengenai pengagihan bagi mengelak sebarang data dan maklumat palsu berhubung penerima bantuan, Hafiz berkata, dia menjalin kerjasama dengan PPZ-MAIWP untuk merealisasikan tujuan tersebut.

“Jika saya nak buat seorang diri memang tak termampu malah data pun tak mencukupi. Minggu lepas saya dah adakan persidangan dengan PPZ-MAIWP.

“Untuk bukan Muslim, saya akan buka ruang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk tampil membantu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS