Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kaki Bangku Juara Pertandingan Filem Pendek Tamil Antarabangsa
Diterbitkan:  Jan 27, 2021 3:09 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Filem tempatan berjudul Kaki Bangku arahan Nanthakumaran Rajavijayan dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Filem Pendek Tamil Antarabangsa, Zee Reel yang diadakan 28 hingga 20 Dis tahun lalu.

Tempat kedua dimenangi naskhah berjudul Dark Light, karya dari Singapura arahan Vickneshwaran manakala tempat ketiga Feb 14 oleh Kevin William juga dari negara sama.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkata, selain Kaki Bangku, empat lagi filem pendek tempatan turut terpilih mengisi lapan tempat teratas pada senarai pemenang Zee Reel anjuran stesen penyiaran global Zee Tamil Asia Pasifik dengan sokongan agensi kerajaan itu.

“Finas ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada pembikin filemTamil muda negara yang telah mengungguli Pertandingan Filem Pendek Tamil Antarabangsa, Zee Reel,” kata badan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Disertai lebih 100 penyertaan dari Malaysia dan Singapura, pembikin filem Tamil tempatan kini berpeluang untuk melebarkan sayap ke peringkat global menerusi pertandingan filem pendek tersebut.

Dianjurkan buat kali pertama pada tahun 2020, Pertandingan Filem Pendek Tamil Antarabangsa Zee Reel itu diadili barisan juri terdiri daripada pembikin filem Kollywood, AL Vijay, Dr. Vimala Perumal (Malaysia), Tamil Nasan, Ketua Program Zee Tamil & Zee Thirai serta pembikin filem Singapura, Rajagopal K dan Yahssir M.

Selain Kaki Bangku, empat lagi karya tersebut adalah Paasam arahan Vengatesh Ramachandran, Trending Pistha (Lavinia Ann), Cubic Room (Kumaaran Vijayan atau Wizzy) dan Deepawali (Aaron Nagaiah dan Dinakaran Chandrasegaran).

Karya lapan peserta yang terbaik akan ditayangkan di saluran APAC Tamil ZEE selain tiga pemenang teratas berpeluang untuk mendapatkan latihan amali dengan pengarah antarabangsa.

Finas berkata, dalam strategi memperkasakan pembangunan kandungan Bahasa Tamil dan bakat penggiat industri, agensi tu melalui Jawatankuasa Bahasa Tamil dan Pasaran India telah meneroka kerjasama strategik bersama badan penyiar antarabangsa seperti Zee Tamil Asia Pasifik.

“Kerjasama ini memberi peluang bagi pengedaran dan pemameran produk Tamil tempatan serta penggiat industri di peringkat global di mana lima filem pendek dari Malaysia ini akan ditayangkan di saluran Zee Tamil Asia Pasifik (Malaysia dan Singapura) serta seluruh dunia di saluran Zee Thirai,” kata kenyataan itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS