Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hot FM gantung perkhidmatan Shuk Sahar
Diterbitkan:  Jan 25, 2021 1:33 PM
Dikemaskini: 5:33 AM

Pihak pengurusan stesen radio Hot FM mengesahkan bahawa perkhidmatan penyampai radio, Shuk Sahar digantung serta-merta.

Hot FM dalam satu kenyataan memaklumkan penggantungan sementara itu bertujuan memudahkan stesen radio tersebut melakukan siasatan dalaman berhubung isu membabitkan Shuk.

“Mohammad Shukri Mohamed Sahar atau lebih dikenali sebagai Shuk digantung serta merta.

“Penggantungan sementara perkhidmatan Shuk sebagai penyampai radio adalah untuk memberi ruang kepada pihak pengurusan untuk melakukan siasatan dalaman tentang isu yang sedang tular di media sosial,” kata kenyataan itu.

Krisis rumah tangga membabitkan Shuk ternyata bukan lagi rahsia selepas isterinya, Rossalennah Natassiah Asshaferah atau Sera mendakwa pelawak yang juga pelakon itu bermain kayu tiga baru-baru ini.

Untuk rekod, ini bukanlah pendedahan pertama berhubung isu Shuk yang didakwa curang mendapat perhatian di media sosial.

Menurut Rossalennah, suaminya itu didakwa curang bersama wanita sama seperti sebelum ini.

Shuk dan Rossalennah mendirikan rumah tangga pada 2015. Hasil perkongsian hidup itu pasangan berkenaan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Nur Qurratu Ain, 4 dan Nur Assyifatu Aimi yang kini berumur setahun.

Sementara itu, Hot FM berkata, segala perkembangan terkini penggantungan Shuk daripada tugasnya itu akan dimaklumkan kemudian.

“Perkembangan terkini penggantungan Shuk akan diumumkan oleh pihak pengurusan Hot FM selepas siasatan dalaman selesai,” kata kenyataan itu lagi.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Shuk untuk mendapatkan reaksi lanjut berhubung isu berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS