Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Terpalit Macau Scam, Shuib harap SPRM dapat sahkan tak terlibat

Selebriti dan usahawan Shuib Sepahtu berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat mengeluarkan kenyataan untuk membersihkan namanya selepas dia dikaitkan dengan siasatan sindiket Macau Scam tahun lalu.

Shuib berkata, pengesahan itu diperlukan jika dia sudah tidak mempunyai sebarang kaitan lagi dalam siasatan yang dijalankan agen antirasuah tersebut.

“Saya dalam proses meminta SPRM keluarkan surat yang menyatakan saya atau nama Bubble Bee tidak ada kaitan lagi dalam siasatan,” katanya pada sidang media secara maya di Puchong kelmarin.

Pelawak dan penyampai radio itu sebelum ini hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung aktiviti penggubahan wang haram membabitkan perniagaan minuman Bubble Bee yang diusahakannya.

Peguamnya Muhammad Fadhli M Sutris pula berkata selebriti itu dipanggil hanya untuk memberi keterangan dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Justeru, katanya, tiada sebarang permohonan reman dikemukakan terhadap pemilik nama penuh Shahmira Muhamad itu selepas keterangan diambil dan selesai pada hari yang sama. 

Kes yang mengundang perhatian satu negara itu menjadi topik hangat dalam alam maya sekaligus menyebabkan nama Shuib menjadi mangsa serangan netizen.

Ada hikmah tersembunyi

Dia terlebih dulu menuai kontroversi selepas menyuarakan pendapatnya berhubung bantuan kerajaan pada perintah kawalan pergerakan (PKP) tahun lalu.

Selain itu, suami penyanyi Siti Sarah Raisuddin itu juga dihimpit kontroversi apabila melakonkan adegan memarut kelapa dalam program Sepahtu Live Reunion yang didakwa berunsur lucah.

Kata Shuib, 36, insiden tahun lalu itu bukan sekadar menyebabkan perniagaannya terjejas, malah hubungan dengan rakan-rakan sekeliling turut ditimpa nasib sama apabila ada yang menjauhkan diri daripada dia dan isterinya.

“Apabila dah selesai, saya bersyukur teramat... ya Allah, alhamdulillah. Ada hikmah. (Saya) kenal siapa kawan dan lawan, apa yang berlaku mengajar realiti kehidupan,” katanya.

Semalam Malaysiakini menyiarkan laporan Shuib didatangi seorang individu yang kemudian memaki hamun selain mendesaknya menutup kedai kerana kes Macau Scam terbabit. 

Menurut Shuib sekiranya keadaan mengizinkan dan SPRM ‘terbuka hati’ menunaikan permintaannya, dia akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan isu tersebut kepada umum.

“Sekiranya sudah bersih, saya akan buat satu sidang akhbar,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS