Enggan mengeruhkan lagi keadaan, pemilik syarikat Noor Khan Enterprise iaitu Noor Kartini Noor Mohamed membatalkan permohonan cap dagang bagi jenama Harimau Menangis.
Keputusan itu dibuat selepas permohonannya untuk mendaftarkan jenama tersebut menjadi hak eksklusif di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIpo) mengundang rasa kurang senang pelbagai pihak.
Noor Kartini yang juga ibu selebriti terkenal Neelofa berkata, permohonan itu akan dibatalkan dalam masa terdekat.
“Saya ingin memohon maaf dan sedar akan kekhilafan yang telah terjadi dan saya berharap keputusan yang saya buat hari ini dapat menjelaskan dan meredakan keadaan.
“Saya membuat keputusan untuk membatalkan permohonan cap dagang nama Harimau Menangis dengan secepat mungkin.
“Dengan penjelasan ini saya harap isu ni selesai dan tidak perlu diperpanjangkan lagi,” katanya dalam satu sidang media diadakan secara virtual hari ini.
Terdahulu, tular imej memaparkan permohonan pendaftaran yang didakwa diisi oleh pihak Noor Kartini berkenaan dengan penggunaan nama Harimau Menangis.
Tindakan Noor Kartini yang mengakui sedang memohon hak ekslusif jenama tersebut melalui Insta Story miliknya turut mengundang polemik dalam kalangan warga maya.
Netizen pada masa sama menegur tindakan Noor Kartini mendaftarkan cap dagang Harimau Menangis sedangkan ramai peniaga sejak sekian lama sudah menggunakan nama tersebut bagi mempromosi resepi masakan berasaskan daging ‘harimau menangis.'
Rata-rata berpendapat, tindakan tersebut tidak wajar kerana ‘harimau menangis’ bukan hak eksklusif sesiapa.
Sebelum ini, Ketua Pengarah MyIPO, Mohd Roslan Mahayudin tampil menjelaskan permohonan cap dagang bagi jenama Harimau Menangis oleh Noor Khan Enterprise masih di peringkat pemeriksaan.
Katanya, permohonan pendaftaran tersebut belum diluluskan MyIPO serta belum menjadi hak eksklusif Noor Kartini.
Mohd Roslan memaklumkan permohonan daripada pihak Noor Kartini bagi mendaftarkan jenama itu diterima MyIPO pada November tahun lalu.
Menjelaskan lebih lanjut, Noor Kartini berkata, tujuan permohonan tersebut bukanlah untuk menutup pintu rezeki sesiapa sebaliknya bagi mengelak barang dagangannya diciplak pihak tidak bertanggungjawab.
“Tujuan asal saya memohon cap dagang ini adalah untuk melindungi jenama perniagaan saya dan agen jualan kami daripada masalah produk tiruan.
“Sesungguhnya tiada niat saya untuk menutup pintu rezeki sesiapa dan saya percaya rezeki kita masing masing datang daripada Allah SWT,” katanya.