Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jais siasat Sajat dakwaan hina Islam
Diterbitkan:  Jan 13, 2021 12:25 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan personaliti kontroversi Nur Sajat disiasat berkaitan kesalahan jenayah syariah menghina Islam dan kesucian institusi agama di negeri itu.

Unit Korporat Jais dalam satu kenyataan berkata, Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajad Kamaruzzaman disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

“Ia berikutan tindakannya di Selangor dan beberapa aduan yang diterima mengenai perlakuan Sajat pada tahun 2018 dan 2020,” kata kenyataan itu.

Seksyen 10 merujuk kesalahan syariah menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina sama ada mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; melalui perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain.

Jika sabit kesalahan, Sajat boleh dikenakan dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, melalui sebuah rakaman video yang ditularkannya, Sajat, 35, berkata, dia diminta hadir ke pejabat agama itu pada 6 Januari lalu untuk memberi keterangan berhubung satu majlis bacaan doa selamat dan Yassin bersama-sama anak tahfiz yang diadakan di Shah Alam.

Bagaimanapun, Sajat mendakwa dirinya dia dikasari beberapa anggota penguat kuasa Jais hingga menyebabkan kecederaan kerana mempertahankan dirinya daripada digari sewaktu proses siasatan berlangsung.

Sajat berkata, dia terkilan kerana diperlakukan sedemikian sedangkan dia sudah hadir bertemu pihak berkuasa agama itu bagi membantu siasatan.

Jais pada masa sama mengesahkan pihaknya mengambil maklum berhubung video ditularkan Sajat ketika proses siasatan dilakukan itu.

“Sajat telah membuat laporan polis berkaitan insiden tersebut.

“Pegawai penguat kuasa Jais berkenaan juga telah dipanggil bagi memberikan keterangan mengenai laporan yang dibuat,” kata kenyataan itu.

Malaysiakini semalam menyiarkan kenyataan Pemangku Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed bahawa pihaknya masih belum mendapat kerjasama Sajat selaku pengadu untuk dirakam percakapannya.







Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS