“Nak cakap apa lantaklah,” demikian kata Natasha Hudson berhubung kontroversi busana digayakan yang seolah-olah menampakkan sebahagian kulit bahu kanannya.
Menurut Natasha, dia enggan menyalahkan sesiapa bahkan tidak mengambil peduli pandangan segelintir pihak kerana beranggapan penampilannya itu tidaklah keterlaluan.
Kata pemilik nama penuh Natasha Liana Hudson itu, busana disediakan pengasas produk Crystal C White, Reena Zach itu sebenarnya mempunyai lapik kain berwarna kulit (nude).
“Saya hanya ikut tema majlis saja yang turut ada unsur glam. Ini bukan pelancaran kedai mamak, ini majlis pelancaran produk.
“Saya pun sebenarnya bukan memakai gaun macam ni sepanjang masa. Saya hanya memakainya saja dan tak rasa ia keterlaluan. Saya pun tak ada masalah dengan gaun tu.
“Saya tak salahkan sesiapa dan tak ambil peduli hal orang,” katanya yang menjadi wajah wakilan produk berkenaan.
Gara-gara menggayakan rekaan Rizman Ruzaini, nama Natasha, 38, panas sejak petang semalam selepas pelakon itu memuat naik imejnya di Insta Story.
Busana berkenaan terus menambah kecaman apabila ia direka dengan belahan pada bahagian belakang hingga menampakkan betisnya.
Harap tahun baru bawa tuah
Penampilan sedemikian dianggap tidak bersesuaian buat pelakon itu yang sebelum ini pernah mengenakan niqab kira-kira dua tahun bermula sekitar 2016.
Malah ada yang beranggapan busana yang digayakan pelakon Chermin dalam sidang media tersebut tidak sesuai dengan imejnya yang kini bertudung.
Menurut ibu tunggal kepada tiga anak itu, dia sebenarnya mempunyai pilihan busana lain cuma ia tidak memberikan keselesaan seperti yang diinginkan.
“Ada baju lain yang labuh kainnya dan tak sesuai untuk bergerak. Gaun yang saya pakai ini lebih memudahkan saya dan lebih santai.
“Biasalah mata netizen lebih tertarik pada sudut menampakkkan bahu yang dianggap sebagai hal besar. Saya harap tak perlu diperbesarkan perkara tu lagi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Natasha berkata dia sepatutnya membintangi sebuah filem dari Indonesia tahun lalu.
“Saya sempat ke Indonesia untuk bina semula rangkaian di sana. Penggambaran filem sepatutnya dilakukan di Semporna, Sabah. Tapi disebabkan kekangan pandemik ia terbantut.
“Saya harap tahun 2021 akan beri tuah khususnya dalam soal kerjaya seni,” katanya.
Pada majlis pelancaran produk itu, pelakon Keith Foo turut diumumkan sebagai duta.