Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bekas isteri Fizo Omar, anak positif Covid-19
Diterbitkan:  Jan 5, 2021 3:03 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Pelakon Fizo Omar memaklumkan bekas isterinya, Mawar Abdul Karim dan anak mereka, Wan Maryam disahkan positif Covid-19, sejak 1 Jan lalu.

Kata Fizo, Mawar dan Wan Maryam kini sedang menerima rawatan di hospital yang tidak didedahkan lokasinya.

“Dengan berat hati dan penuh rasa tanggungjawab, saya nak maklumkan bahawa anak saya Wan Maryam dan bekas isteri saya, Mawar disahkan positif Covid-19 sejak 1 Jan dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

“Syukur Alhamdulillah keadaan mereka stabil,” katanya di Instagram hari ini.

Bagaimanapun kata Fizo atau nama penuhnya Wan Hafizol Wan Omar, 35, keputusan ujian saringan Covid-19 yang diambilnya semalam mengesahkan dia setakat ini bebas daripada wabak berkenaan.

“Saya telahpun menjalani ujian calitan pada 2 Jan dan Alhamdulillah keputusannya adalah negatif,” katanya.

Mawar pula memuat naik video di Instagram Story memaparkan saat mereka anak beranak dibawa petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani rawatan.

Dia yang juga ahli perniagaan itu meminta maaf kerana tidak dapat membalas panggilan, email atau apa-apa di media sosial ketika ini.

Selain itu, Mawar turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan keadaan dia dan anaknya.

"Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya dan Maryam. Hanya Allah saja dapat membalas jasa baik kalian. Semoga saya dan Maryam terus sihat. Insya-Allah.

"Terima kasih juga kepada petugas barisan hadapan. Maaf kalau saya tak dapat nak jawab panggilan atau emel dan apa-apa dari media sosial.

“Saya dan Maryam boleh lawan. Maryam anak yang kuat," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS