Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Namewee sifatkan Seniman 'kelakar'
Diterbitkan:  Jan 4, 2021 9:28 PM
Dikemaskini: 1:40 PM

Pengarah filem kontroversi Namewee menganggap segelintir pihak suka membuang masa pihak berkuasa dengan melaporkan perkara “kelakar” ketika negara sibuk mengekang wabak Covid-19.

Namee berkata demikian bagi mempertahankan dirinya selepas Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mendakwa dia telah memalsukan dokumen Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi filem Babi arahannya.

“Sebelum ni saya memuat naik video beberapa ekstrimis seperti Pemuda Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan (PN) yang pergi ke balai polis untuk membuat laporan tentang poster filem saya.

“Sejak itu ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya dikenali sebagai Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang pergi ke balai untuk buat laporan mengenai Babi dan buat banyak komen kelakar.

“Inilah apa yang dilakukan oleh Seniman. Polis sibuk dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) sudah lebih setahun dan tak ada cara berehat dengan baik, tak ada cara makan dengan baik tapi orang-orang ini suka laporkan kejadian bodoh tanpa menggunakan otak dan memanggil wartawan.

“Mereka hanya tahu ganggu kerja polis, hanya nak (wajah) keluar di surat khabar dan jadi popular,” katanya dalam sebuah rakaman klip video.

Sambil memetik beberapa sumber media, pemilik nama sebenar Wee Meng Chee itu juga berkata, Seniman seperti yang didakwa segelintir pihak gemar meminta-minta dana kerajaan dan bukannya menyelesaikan masalah penggiat seni.

“Seniman suka minta dana kerajaan dan tak selesaikan masalah.

“Saya betul betul tak mahu terlibat dengan Seniman. Seniman adalah organisasi pandai ambil wang tapi tak buat apa. Bukan saya kata tapi dah ramai orang lain kata,” katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Hanafiah membuat laporan berkenaan dakwaan pemalsuan SPP apabila tajuk asal Babi yang sebenarnya adalah Sekolah.

Selain itu Pemuda PN dan beberapa NGO lain yang diwakili pengarah dan aktres Ellie Suriati turut membuat laporan polis terhadap Namewee kerana menyifatkan filem arahannya itu menyentuh sensitiviti kaum dan memburuk-burukkan imej Malaysia di luar negara.

Mengulas berhubung penukaran nama pada judul filem tersebut, Namewee berkata pengedar sebenarnya mempunyai hak untuk mengubah atau menambah baik apa yang mereka inginkan terhadap produk mereka.

“Apabila sesebuah filem dihasilkan dan dijual kepada pengedar filem, mereka mempunyai hak mutlak untuk menukar tajuk, mengubah poster atau menyunting filem itu semula sekiranya berasa ia tidak cukup baik.

“Hal ini bukan saja berlaku di Malaysia tapi di seluruh dunia. Ini perkara biasa, boleh Google, ia bukan pemalsuan sebaliknya dinamakan pemasaran,” katanya.

Namewee turut memetik beberapa filem yang diubah nama asalnya seperti filem Hollywood, Avengers: Endgame kepada Infinity Gauntlet dan filem tempatan Menjulang Kejuaraan yang ditukar kepada Lee Chong Wei.

Berhubung penukaran tajuk Sekolah ke Babi, Namewee berkata, pengedar filem tersebut adalah syarikat di Taiwan dan bukannya Malaysia, justeru dia tidak perlu membuat permohonan semula SPP di Finas sekiranya mahu menukar judul berkenaan.

Bukan setakat itu, Namawee seolah-olah mencabar Seniman apabila dia mempertikaikan mengapa Hafiz tidak membuat pendedahan secara terperinci berhubung maklumat pemalsuan yang sudah dilakukannya kepada umum.

“Kamu panggil wartawan tapi tak jelaskan, apa kamu takutkan?” soalnya.

Pada masa sama, menyentuh dakwaan berhubung Babi yang dikatakan Seniman boleh merosakkan perpaduan di negara ini, Namewee berkata, pihak yang berhujah demikian sewajarnya tampil dengan bukti sebagai sokongan.

“Bolehkah saya tanya mana satu filem Namewee yang merosakkan perpaduan di Malaysia? Banyak kali? Adakah kamu pernah tonton filem saya?” katanya.

Pada pengakhiran videonya, Namewee berkata, dia berbangga kerana ramai anak Melayu yang tampil dan memberikan sokongan terhadap usahanya mencipta sejarah di persada antarabangsa.

Susulan itu katanya, dia akan memberikan kerjasama sebaik mungkin dengan Polis Diraja Malaysia sebaik tiba di Malaysia bagi membantu siasatan.

“Ia menerima pengiktirafan festival filem antarabangsa di empat negara. Kami membolehkan dunia melihat kejayaan karya anak Malaysia. Kami tidak akan berundur

“Saya juga terharu selepas mendapat tahu ramai yang menyokong terutama dalam kalangan Melayu.

“Jangan bimbang perkara pertama yang akan dilakukan bila pulang ke Malaysia adalah berkejasama dengan siasatan polis.

"Saya percaya majlis kehakiman akan beri keadilan dan Malaysia akan berbangga dengan saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS