Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Peserta Muslim Malaysia Plus World Icon tak tahu syarat Yadim
Diterbitkan:  Jan 3, 2021 9:55 AM
Dikemaskini: 6:14 AM

Salah seorang peserta Malaysia Plus World Icon (MPWI), Jastina Mohd Junus mengakui tidak tahu mengenai syarat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) agar peserta wanita beragama Islam tidak dibenarkan menyertai acara itu.

"Masya-Allah, kami memang tak tahu perkara itu. Itu kena tanya penganjurlah. Tapi, setakat ini kami dilayan sama rata," katanya selepas majlis yang berlangsung di Putrajaya semalam.

Jastina memenangi gelaran Duta Kemanusiaan dalam pertandingan untuk wanita berbadan besar itu.

Kata Jastina, dia maklum mengenai bantahan terhadap acara itu sebelum ini namun menyifatkannya hanya salah faham.

"Kami maklum akan bantahan tersebut, tetapi seperti yang anda lihat kami masih memakai inner dan berseluar panjang di dalam gaun.

"Jadi, tidak ada isu bagi kami. Sebab setakat ini saya masih berhijab dan mengekalkan imej saya sebagai wanita berhijab tanpa halangan," katanya.

Kata Jastina, MPWI juga wajar diteruskan pada masa hadapan.

"Acara ini bukan untuk cari siapa paling cantik. Awak boleh tengok sendiri bagaimana kami sisterhood di atas pentas dan bagaimana hubungan kami semua. Tak kisahlah India, Cina, Melayu kami sayang satu sama lain dan kami sokong satu sama lain," katanya.

Terdahulu, PAS dan Yadim membantah penganjuran program tersebut kerana disifatkan sebagai program tidak bermanfaat dan berunsur kemaksiatan.

Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan semalam menegaskan penganjur perlu mematuhi janji sepertimana yang telah dipersetujui mereka.

Nasrudin berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengadakan pertemuan dengan pihak penganjur pada 31 Dis lalu, sebelum mencapai beberapa kata sepakat.

Antara keputusan yang dicapai ialah penganjur tidak akan melibatkan peserta Muslim dengan menggugurkan penyertaan mereka.

"Tiada peserta wanita beragama Islam yang akan menjadi pemenang dan menjadi wakil ke Peringkat Antarabangsa di Miss Plus World USA.

"Peserta beragama Islam hanya akan menjadi pemerhati dan duduk di meja VIP (orang kenamaan)," katanya.

Yadim katanya tetap mengambil pendirian membantah acara itu sekiranya ia diteruskan dan menyerupai pertandingan ratu cantik wanita.

'Bukan lagi pertandingan ratu cantik'

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Nasional MPWI, Ziinine A Britshi mendakwa Jakim tidak mempunyai masalah dengan program berkenaan kerana ia bukan lagi pertandingan ratu cantik, sebaliknya hanya pertandingan mencari bakat dan ikon.

"Kami menunaikan janji kami kepada Jakim dan Pemuda PAS dengan mengubah nama program kami dan memindanya sesuai dengan nasihat mereka.

"Kami juga mendapat kebenaran polis dan pihak berkuasa untuk mengadakan malam gala berdasarkan perubahan yang kami lakukan," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Menurutnya pihaknya telah melaburkan banyak wang untuk menganjurkan malam gala itu dan persediaan telah dibuat sejak Mac lalu.

Malaysiakini sedang menghubungi pihak Jakim bagi mendapatkan maklum balas mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS