Lagu Ittihad dendangan kumpulan nasyid popular negara Rabbani merangkul gelaran lagu nasyid terbaik pada Anugerah Nasyid Malaysia 2020 (Anam 2020) yang julung kali diadakan malam tadi.
Lagu itu digubah Azmee Abdul Manap atau lebih dikenali sebagai Daqmie.
Selain itu, pemenang lain Anam 2020 ialah Kumpulan Inteam bagi anugerah nasyid pilihan; Aniq Muhai (artis basyid baru pilihan); Nissa Sabyan (nasyid nusantara pilihan); Sakit (rakaman lagu nasyid terbaik); Omar K (susunan muzik nasyid terbaik); Rabbani (vokal nasyid terbaik) dan Ito Lara (lirik nasyid terbaik).
Tiada pemenang untuk anugerah video muzik terbaik, sementara dua anugerah khas iaitu anugerah khalifah diberikan kepada kumpulan Raihan, manakala Inteam turut membawa pulang anugerah kembara.
Anam 2020 anjuran Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid) dengan sokongan serta kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Penganjur menerima 585 penyertaan bagi sembilan kategori yang dipertandingkan dan dua kategori anugerah khas yang dikhususkan kepada individu atau kumpulan yang memperoleh pencapaian tertinggi yang dinilai oleh juri.
Acara itu turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Mohammad Mentek.
Sementara itu, Saifuddin berkata acara malam tadi merupakan julung kali dua kementerian secara rasmi memberi dukungan kepada anugerah nasyid.
“Alhamdulillah, nampaknya cukup hebat, persembahannya begitu baik sekali dan ada kualiti dalam anugerah-anugerah yang dimenangi oleh para pemenang dan kita lihat ada kumpulan-kumpulan baru, juga sudah ada juga penyanyi baru.
"Kerajaan berharap dengan kejayaan malam ini kita boleh meneruskannya sebagai acara tahunan dan cita-cita saya dan Dr Zul (Zulkifli) pada tahun depan kita akan adakan Anugerah Nasyid Malaysia peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Zulkifli berkata penganjuran program seumpama itu boleh mencungkil bakat luar biasa serta menunjukkan kesungguhan individu atau kumpulan berdakwah.
“Begitu juga anugerah-anugerah yang dikemukakan memberi satu makna dan isyarat bahawa Malaysia layak untuk menjadi hab nasyid antarabangsa satu hari nanti,” katanya.
Anam 2020 diadakan dalam pematuhan norma baru dengan prosedur operasi standard bagi mengekang penularan Covid-19 dan buat julung kalinya acara hiburan turut menampilkan jurubahasa isyarat dalam penganjurannya.
Majlis itu turut diserikan dengan persembahan artis terkemuka negara seperti Jamal Abdillah, Ali Terra Rossa, Akhil Hayy dan Altimet, selain artis nasyid berkumpulan popular Brothers, Rabbani, Raihan dan Hijjaz.
- Bernama