Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penyanyi Naim Daniel masih perlu mendapatkan rehat susulan mengalami kecederaan di bahagian rahang akibat kemalangan 17 Dis lalu.

Pengarah Urusan Worldpeace Entertainment Usaid Hamdi berkata, insiden itu boleh menjejaskan punca rezeki Naim justeru doktor menasihatkan dia untuk berehat buat sementara waktu.

“Beberapa hari selepas kejadian, dia masih okey. Tapi kelmarin dia mengadu sakit.

"Sejujurnya dia berkata mahu datang ke pelancaran lagu Lara pada hari ini.

“Tapi kerana terlampau sakit, doktor minta dia berehat dulu dan dapatkan rawatan sementara menunggu keputusan pemeriksaan rahang tersebut,” katanya.

Usaid ditemui pada majlis pelancaran lagu Lara di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Usaid berkata demikian ketika diminta mengulas ketiadaan Naim, 23, dalam majlis pelancaran lagu tersebut yang menyaksikan trionya bersama Hael Husaini dan Haqiem Rusli.

Penyanyi Sumpah itu mengalami kemalangan di Lebuhraya Cheras-Kajang sewaktu dalam perjalanan menuju ke tempat kerja.

Ketika kejadian dia dalam perjalanan dari rumahnya di Semenyih ke Petaling Jaya bersama kakaknya.

Pemilik nama penuh Muhammad Naim Daniel Baharin itu cedera ringan di rahang dan gusi apabila kereta pacuan empat roda jenis Ford Ranger dipandunya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.

Kejadian itu menyebabkan kereta dipandu mengalami kerosakan teruk apabila remuk di bahagian kanan depan, tayar pecah dan cermin hadapan retak.

Menurut Usaid, Naim masih menunggu keputusan lebih terperinci daripada pihak hospital berkenaan kecederaan yang dialaminya itu.

Dalam pada itu, Usaid berterima kasih kepada semua peminat dan rakan-rakan industri yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan Naim.

“Kemungkinan keputusan perubatan itu akan diperolehi sama ada hari ini atau esok.

“Terima kasih buat semua yang mendoakan agar Naim dapat kembali dengan lebih kuat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS