Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Finas jawab dakwaan penerbit Ada Apa Dengan Dosa

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menegaskan agensi berkenaan tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap Shopee Mobile (M) Sdn Bhd berdasarkan kerugian sesebuah produksi yang dialami akibat hak cipta mereka dilanggar.

Sebaliknya Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid, berkata bidang kuasa Finas menyaman termaktub dalam ruang lingkup kesalahan sekiranya sesebuah platform e-terbabit tiada lesen pengedaran saja.

“Kami menyeru penerbit yang menghadapi masalah filem mereka dipamerkan dalam e-platform tanpa izin agar segera membuat lapor kepada Finas bagi tindakan lanjut.

“Namun, Finas tak boleh saman-menyaman dari segi untung rugi sebab karya mereka dicuri.

“Bagi saman kerugian dan teladan, penerbit kena usahakan. Finas tak boleh menanggung kos saman untuk dapatkan ganti rugi bagi pihak penerbit.

“Kami hanya saman atas kesalahan sekiranya platform berkenaan tidak mohon lesen pengedaran. Bidang penguatkuasaan kami setakat itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Semalam dalam satu sidang media penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD), Normashayu Puteh atau Ayu Puteh mendesak Finas menyaman Shopee kerana menyebarkan dan menyiarkan kandungan karyanya tanpa izin melalui platform berkenaan.

Ayu Puteh (empat dari kiri)

Dalam sidang sama, ibu kepada aktres Wana Ali itu turut mendakwa Finas tidak serius mempertahankan haknya serta penerbit-penerbit lain yang ditimpa nasib sama.

Ayu turut mendakwa terdapat pihak menyuruhnya mendiamkan diri gara-gara disifatkan terlalu 'bising' mempertahankan haknya. 

Untuk rekod, Finas sebelum ini mengeluarkan kenyataan badan tersebut sedang memburu dalang bertanggungjawab menyebar dan mengedar AADD di Shopee.

AADD ditayangkan secara eksklusif di saluran berbayar Astro First pada 4 Jun lalu. Bagaimanapun, muncul pihak tidak bertanggungjawab yang kemudian menjual filem arahan Rahila Ali itu serendah 80 sen.

Mengulas dakwaan tidak serius untuk mempertahankan hak Ayu, Zakaria berkata, pihaknya memberikan amaran kepada Shopee dan sebagai respons platform itu segera menurunkan AADD.

“Finas bagi amaran, lepas bagi amaran, mereka (Shopee) terus tarik balik AADD daripada dijual di laman e-dagang tersebut.

“Kami bertindak berpandukan laporan. Kami tak memantau platform,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS