Sudahlah karyanya diedar dan dijual tanpa kebenaran, kini ada pula pihak didakwa mendesak agar menutup mulut daripada terus bersikap lantang menegakkan haknya.
Tanpa menamakan sebarang pihak, penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD), Normashayu Puteh atau Ayu Puteh berkata amaran tersebut bagaimanapun tidak diberikan secara langsung namun sampai kepada pengetahuannya melalui pihak ketiga.
“Maaf tak boleh nak dedahkan siapa, siapa makan cili dia terasa pedas. Tapi cakap-cakap belakang yang suruh kurangkan bising tu akhirnya sampai juga ke telinga saya.
“Nak cakap berbaur ugutan tu saya tak pasti, tapi dapat rasakan ia satu amaran,” katanya.
Menurut Ayu, dia tidak faham mengapa wujud segelintir pihak yang tergamak menyuruhnya berdiam diri sedangkan dia sedang mempertahankan haknya serta penerbit lain yang menerima nasib sama.
“Tak faham kenapa ada pihak perlu buat demikian sedangkan saya perjuangkan hak sendiri serta pemilik hak cipta karya yang lain. Jangan suruh saya diam.
“Pada siapa lagi saya nak mengadu hal begini? Menangis air mata seorang diri pun tak siapa tahu. Takkan saya nak mengadu pada mak ayah pula?
“Saya tak ada kepentingan politik cuma mahu keselamatan dalam industri dan saya tak akan berdiam diri hingga nasib saya dibela,” katanya.
Ayu ditemui pada sidang media khas diadakan di Plaza Damas, Kuala Lumpur semalam.
Hadir sama, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez; Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Zahrin Aris; Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil; dan peguam Aizul Rohan Anuar.
Lima bulan belum selesai
Terdahulu, syarikat produksi Pencil Pictures and Records Sdn Bhd (PPAR) mengemukakan saman pelanggaran hak cipta eksklusif terhadap Shopee Mobile (M) Sdn Bhd kerana mengedar dan menjual AADD di platform e-dagang berkenaan dengan harga serendah 80 sen.
Saman itu difailkan PPAR di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Sept lalu.
Baca Finas jawab dakwaan penerbit AADD
Bagaimanapun, penyedia perkhidmatan e-dagang tersebut memaklumkan kepada Malaysiakini sebelum ini mereka mengambil langkah tegas bagi menyelesaikan isu pelanggaran hak cipta tersebut dengan menyingkirkan dan mengharamkan penjual terbabit daripada Shopee.
AADD arahan Rahila Ali ditayangkan secara ekslusif melalui saluran berbayar Astro First pada 4 Jun lalu.
Dalam sidang media sama, Ayu turut mendakwa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan kerajaan seolah-olah tidak menjalankan tugas mereka dengan baik walaupun selepas lima bulan aduan dibuat.
Ayu mendesak agar Finas dan kerajaan mengambil tindakan sewajarnya kepada Shopee dan dalang yang bertanggungjawab menyebarkan filem itu tanpa kebenaran.
“Saya amat kecewa sampai sekarang seolah-olah tak ada tindakan serius daripada agensi kerajaan. Kecewa sebab hampir lima bulan isu tak selesai.
“Saya mahu agensi kerajaan lebih bertanggungjawab dan anggap perkara ni serius. Saya sampai upah peguan sebab tak mampu berjuang seorang diri, suara tak kuat,” katanya.