Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Zakaria Abdul Hamid berkata ada kemungkinan kenyataannya mengenai rancangan mengangkat Muhammad Syahmi Sazli sebagai ikon pengarah muda difahami orang di luar konteks sebenar.
Kata Zakaria, apa yang disebutnya sebelum ini hanya bersifat cadangan agar ada apresiasi sewajarnya pada majlis yang akan dianjurkan tahun depan.
Justeru katanya mungkin ada lagi pengarah lain yang akan dinilai panel tertentu untuk diberi pengiktirafan dalam pelbagai kategori berbeza.
“Disebabkan tahun 2020 ni tak ada festival filem akibat Covid-19, Finas bakal adakan sebuah majlis apresiasi yang akan melibatkan beberapa panel dan Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM).
“Berbeza dengan festival filem apabila panel menilai filem dari sudut kualiti dan teknikal, yang Finas cadangkan pula majlis apresiasi untuk menghargai pencapaian penggiat seni termasuk filem yang berjaya di luar negara," katanya kepada Malaysiakini.
Tambah Zakaria lagi di negara ini memang ada ramai pengarah muda termasuk Emir Ezwan yang menghasilkan filem Roh dan dia mungkin dipertimbangkan untuk apresiasi lain pula.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan pengarah dan penulis skrip Al Jafree Md Yusop mempersoalkan kewajaran Finas mengangkat sutradara Mael Totey The Movie itu sebagai ikon pengarah muda.
Tak ada isu timbul
Dalam kenyataannya, Al Jafree mempertikaikan mengapa Finas tidak menamakan seseorang pengarah itu berdasarkan kualiti kerja dan kredibiliti mereka dalam bidang perfileman.
Antara nama disebut-sebut pengarah Mencari Rahmat itu ialah Emir atau pengarah siri animasi Ejen Ali iaitu Muhammad Usamah Zaid Yasin.
Al Jafree yang menyifatkan seseorang tokoh penting dalam Finas seperti Zakaria wajar memahami selok-belok perfileman turut mengajak pengerusi itu bersemuka untuk berbahas lebih lanjut perkara tersebut.
Mengakui dirinya bukan individu hebat perfileman, Zakaria bagaimanapun berkata, ada sebab tertentu mengapa dia cenderung memilih Syahmi sebagai ikon pengarah muda.
Katanya, bintang YouTuber itu yang berasal dari luar bandar dilihat berjaya menerbitkan filem tanpa bantuan Finas.
“Dia berjaya terbitkan sebuah filem, tapi mungkin dari sudut teknikal dan kualiti tu boleh dipertikaikan. Namun, apa ingin saya tekankan adalah kejayaan Syahmi mengutip RM7 juta tanpa guna satu sen pun duit Finas.
“Satu lagi aspek lain adalah kecenderungan Syahmi menggunakan khidmat orang kelainan upaya (OKU) untuk berlakon.
“Walaupun ada kritikan kononnya dia mengambil kesempatan ke atas OKU, saya lihat dalam cerita tak timbul pun isu kerana mereka tak dipaksa hafal skrip malah pengucapan juga spontan,” katanya.
Bagi Zakaria, filem itu merupakan pencapaian amat baik buat Syahmi, malah tujuannya bukan ingin menilai mutu tetapi mengangkat seorang pengarah muda untuk dijadikan contoh kepada anak muda yang lain.
“Kita ramai anak muda yang berbakat tapi tak diberikan peluang untuk mereka aktif dalam perfileman khususnya YouTuber.
"Sekarang Finas nak bantu menjadikan mereka ni sebahagian dari ekosistem perfileman negara,” katanya yang terbuka untuk berbincang isu berbangkit dengan mana-mana pihak.