Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Bekas peserta program bercorak keagamaan, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful dilepaskan dengan ikat jamin di kedua-dua Mahkamah Shah Alam dan Petaling Jaya hari ini.

Hal ini disahkan peguam belanya, Syed Amirul Syed Edros kepada Malaysiakini.

“Syed Iqmal dah dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk urusan lepas dengan ikat jamin.

“Sekarang tengah tunggu urusan penerangan tugas penjamin,” katanya dengan menambah anak guamnya itu tiba di mahkamah tersebut tengah hari tadi.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan, pendakwah selebriti itu terpaksa bermalam sehari lagi di Pusat Tahanan Reman Sementara Beranang, Semesnyih meskipun wang ikat jamin yang ditetapkan mahkamah sudah dijelaskan semalam.

Hal ini kerana Syed Shah Iqmal - atau lebih dikenali sebagai Dai Syed - diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19.

Pada 10 Dis lalu, Syed Syah Iqmal ditempatkan di pusat tersebut tiga hari ini kerana pihak penjamin tidak dapat melunaskan wang jaminan yang ditetapkan mahkamah ekoran kekangan waktu.

Sementara itu, peguamnya menjelaskan bahawa Syed Syah Iqmal akan tinggal bersama keluarganya di Telok Panglima Garang, Klang.

“Selepas ini (Syed Syah Iqmal) akan tinggal bersama keluarga di rumah abangnya di Telok Panglima Garang,” katanya lagi.

Syed Shah Iqmal, 25, dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mencabul dan melakukan seks luar tabii.

Dia juga dihadapkan dengan pertuduhan rogol di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Untuk pertuduhan cabul, mahkamah membenarkan Syed Shah Iqmal diikat jamin sebanyak RM5,000 dan bagi pertuduhan seks luar tabii RM20,000 manakala bagi rogol RM10,000.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu Syed Shah Iqmal tidak menganggu mangsa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS