Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Persatuan Seniman lapor polis berhubung pemalsuan SPP filem Namewee

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) hari ini membuat laporan polis terhadap Pengarah Filem Babi, Wee Meng Chee atau Namewee, berkenaan dakwaan pemalsuan dokumen sijil perakuan penggambaran (SPP) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, antara pemalsuan dokumen yang dibuat adalah pada nama filem tersebut.

“Nak cerita pada awal tak boleh sebab masih dalam siasatan, tetapi asalnya waktu dia (Namewee) serah pada Finas, tajuknya bukan Babi tetapi Sekolah.

“Sepatutnya kalau nak ubah , kena hantar balik ke (Finas) tetapi benda itu tidak berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Polis Taman Melawati Kuala Lumpur hari ini.

Malaysiakini sedang menghubungi Finas dan Namewee untuk mendapat respons lanjut.

Jelas Hafiz lagi, pihaknya membuat laporan polis terbabit juga kerana berpendapat filem itu telah mencalarkan imej serta maruah negara.

“Laporan polis ini dibuat atas beberapa faktor antaranya sebab pemalsuan dokumen. Saya tak boleh nak cakap secara terperinci sebab perkara ini sedang disiasat.

“Kami mohon untuk tahan dan siasat Namewee kerana dia dah buat filem uang pada pendapat kami boleh pecah belah perpaduan kaum,” katanya lagi.

Laporan polis itu dibuat oleh Hafiz dan beberapa ahli seniman lebih kurang jam 2.45 petang.

Sebelum ini, Pemuda Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan turut membuat laporan polis terhadap Namewee berhubung poster filemnya yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum.

Mereka membuat laporan polis mendakwa poster filem bertajuk Babi itu mengandungi perkataan kesat dengan sentimen perkauman.

Terdahulu, menurut laporan media, Namewee mengakui bahawa filemnya terlalu kontroversi dan tidak mungkin dapat ditayang di Malaysia.

Maka dia mengambil keputusan untuk tidak mengemukakan permohonan kelulusan tayangan filemnya tetapi sebaliknya mendaftar filemnya dalam festival di luar negara.

Kini, Babi telah tercalon dalam empat festival filem antarabangsa, iaitu Open World Toronto Film Festival (kategori pengarah terbaik dan pelakon terbaik), Around International Film Festival Berlin (Best Feature Film), International Thai Film Festival 2020 dan Taipei Golden Horse Film Festival (Best Original Film Song).

Filem ini telah ditayang di Taiwan bermula 20 November lalu dan mengisahkan tentang kejadian sebenar keganasan dan rusuhan kaum yang berlaku di sebuah sekolah menengah terletak di selatan Malaysia pada tahun 2000.

Mengulas lanjut, Hafiz juga menggesa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya menyekat akaun Youtube pengarah filem tersebut.

“Kita juga gesa SKMM untuk sekat saluran Youtube Namewee kerana dia banyak must naik pratonton (trailer) filem Babi, jadi benda macam ini perlu dihentikan oleh pihak berkuasa,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS