Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Impian menteri agama lihat nasyid kembali bangkit
Diterbitkan:  Dec 11, 2020 9:32 AM
Dikemaskini: 1:32 AM

Buat julung kalinya, Anugerah Nasyid Malaysia atau ringkasnya Anam 2020 bakal dianjurkan Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia) dengan sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), serta Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad menjelaskan impian untuk melihat industri nasyid kembali bangkit seperti pada awal kemunculannya.

“Saya melihat nasyid sebagai satu cabang kesenian Islam yang bukan saja menawarkan hiburan yang sihat dan mendidik kepada masyarakat tapi juga berperanan sebagai salah satu instrumen dakwah yang berkesan khususnya bagi generasi muda hari ini.

“Melalui penganjuran Anam 2020, ia akan menggalakkan penghasilan karya-karya nasyid berkualiti secara berterusan sekaligus menghidangkan masyarakat dengan hiburan yang mendidik jiwa.

“Mesej-mesej positif dan nilai-nilai murni yang dibawa melalui lagu-lagu nasyid juga diharap dapat membentuk masyarakat Malaysia dan dunia yang bersatu padu dan sayang-menyayangi antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Anugerah yang bakal disiarkan secara langsung di TV1 RTM pada 27 Disember ini jam 9.00 malam itu bakal mempertandingkan 11 kategori dengan enam kategori dinilai juri profesional, tiga kategori dinilai melalui undian peminat dan dua kategori anugerah khas juri.

Terdapat satu kategori melibatkan artis nasyid dari Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura.

Anam 2020 adalah salah satu langkah awal ke arah penganjuran Festival Nasyid Antarabangsa Malaysia pada tahun 2021, sejajar dengan status Malaysia sebagai 'The Home of Contemporary Nasyeed' di persada dunia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah pula berkata, industri nasyid Malaysia mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan di pentas dunia sejak awal kemunculannya walaupun kurang diberi perhatian sebelum ini.

“Artis-artis nasyid kita diundang membuat persembahan merentasi pelbagai benua malah ada yang tersenarai dalam 500 Muslim berpengaruh di dunia.

“Jadi sudah tiba masanya untuk kita membangunkan potensi yang ada pada industri nasyid Malaysia supaya ianya bukan sahaja mampu mengharumkan nama negara malah mampu membawa impak ekonomi dalam jangka panjang, melalui pelbagai sektor hiliran melibatkan industri pelancongan, industri halal dan industri muzik itu sendiri.

“Penganjuran Anugerah Nasyid Malaysia 2020 merupakan satu langkah penting dalam merealisasikannya di masa hadapan,” katanya.

Muhamad Razin Che Mud selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anam 2020 yang juga merupakan Presiden Munsyid Malaysia meluahkan perasaan syukur dan terima kasih buat KKMM dan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atas keprihatinan dan perhatian diberikan kepada pembangnan dan perkembangan industri nasyid Malaysia.

“Inilah kali pertama, industri nasyid Malaysia mendapat sokongan yang sebegitu besar oleh pihak kerajaan sehingga ke tahap ini. Apatah lagi dalam keadaan pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan besar kepada penggiat industri nasyid dan muzik secara keseluruhannya.

“Maka penganjuran Anam 2020 akan memberi manfaat kepada lebih 300 penggiat industri secara langsung dan tidak langsung sama ada penyanyi, pemuzik mahupun pekerja di belakang tabir.” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS