Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pra Festival Kesenian Antarabangsa Ipoh julung kali dianjur dalam talian
Diterbitkan:  Dec 10, 2020 2:34 PM
Dikemaskini: 6:40 AM

Pra Festival Kesenian Antarabangsa Ipoh (IIAF) 2021 bakal mencatat rekod tersendiri apabila buat julung kalinya ia akan dianjurkan secara dalam talian pada 12 hingga 20 Disember ini yang bakal dikembangkan untuk festival pada tahun hadapan.

Mengakui ia satu keputusan yang sukar selepas berjaya menganjurkannya pada tahun lepas dengan kehadiran 10,000 pengunjung, Pengurus Besar People of Remarkable Talents (PORT), Nur Hanim Mohamed Khairuddin berkata, keputusan itu terpaksa dilakukan susulan situasi global ketika ini.

Pra festival dalam talian kali pertama itu dianjurkan sebagai komitmen untuk terus membawakan program-program pembangunan meskipun negara kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

IIAF 2021 dianjurkan bertujuan menjadikan Ipoh sebagai salah satu kota yang mempunyai festival tahunan yang boleh menarik para pelancong, peminat seni, pengkaji budaya dan kolektor dari dalam dan luar negara.

Nur Hanim berkata, Pra Festival IIAF kali ini bertemakan BudiI: Pemanjangan Tradisi yang menekankan sikap luhur, rendah diri, bijaksana dan nilai-nilai akhlak yang terpuji dari perkataan Bahasa Melayu sanskrit “Bhuddi.”

Menurutnya, penganjuran selama lapan hari itu dianjurkan oleh PORT selain mendapat kerjasama dari Balai Seni Negara, Singapore Art Museum (SAM), Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Nur Hanim Mohamed Khairuddin.

“Pra festival dalam talian ini bakal menampilkan pameran seni visual (fotografi) bertajuk Novel (Garis Lengkung) yang diilhamkan dari puisi Garis Lengkung (1967) oleh Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1984, Abdul Latiff Mohidin atau lebih dikenali Latiff Mohidin dan dia sendiri akan menyampaikan bacaan puisi secara atas talian.

“Selain itu juga, kita turut tampilkan himpunan seni video daripada koleksi Singapore Art Museum seperti karya-karya dari Ho Tzu Nyen, Quynh Dong, Kawita Vatanajyakur, Vandy Rattana dan Kray Chen.

“Kurator yang disegani di rantau ini, Agung Hujatnikajennong turut menampilkan karya-karya seni video Bandu Darmawan, Eldwin Pradipta, Erik Pauhrizi dan Muhammad Akbar dari Indonesia,” katanya.

Tambah Nur Hanim, program itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti lain seperti bengkel, syarahan dan forum termasuk tayangan tiga buah filem pendek yang disokong oleh Dana Kreatif Perak@PORT akan dipertontonkan sewaktu festival ini.

“Kita ada bengkel seni cetak yang dikendalikan oleh Chetak 12, bengkel pemprosesan fotografi oleh Steve Tan, Bengkel Tarian Tradisional India dari Persatuan Seni Kebudayaan India Greentown Ipoh yang menampilkan penari profesional, Shrimati Usha Guruvayur Durai.

“Manakala sesi syarahan dan forum dengan kerjasama UMK akan melihat sebuah perbincangan mengenai seni ukiran Melayu, seni persembahan Mak yong daripada Syafiq Faliq (Sefa) dan Tatsushige Udaka, Sharing the Tikar oleh Yee I-Lann. Dr Kamal Sabran dari USM pula akan membuat perkongsian bertajuk The Healing Art Project dan tiga panelis Dr. Mohd. Erman Maharam, Sherman Ong dan Dr. Norman Yusoff akan berforum dengan tajuk Filem, Ruang dan Rantau,” katanya.

Nur Hanim turut menyatakan sebuah syarahan budaya oleh Sasterawan Negara Baharuddin Zainal turut memberi makna pada Pra IIAF 2021 kelak.

“Penutup pra festival ini pula akan menampilkan Gig Istimewa Projek Panggung kugiran indie Perak yang sudah menempa nama di persada muzik tanah air iaitu Bittersweet,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS