Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lepas buka kedai makan pemuzik bergelut tampung sewa bulanan

Meskipun kerajaan membenarkan penggiat seni khususnya pelakon dan kru produksi meneruskan penggambaran ketika Covid-19 masih belum reda, rezeki nampaknya belum memihak kepada segelintir pemuzik.

Mereka yang biasanya mencari makan dengan mengadakan persembahan di pusat hiburan, kelab atau hotel masih belum dibolehkan berbuat demikian sebagai mematuhi prosedur operasi standard untuk perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Justeru, demi menampung keperluan harian beberapa pemuzik yang terjejas akibat penularan Covid-19 memulakan langkah membuka sebuah kafe yang menyajikan banyak menu dari Sabah dan Sarawak.

Kafe tersebut mula beroperasi sewaktu perintah kawalan pergerakan dilaksanakan Mac lalu.

Pun begitu, anggota kumpulan Enigmatic Six, Mohd Razali Rashid atau Boy Castro berkata, dugaan ditempuhi semakin perit apabila beban menanggung sewa bulanan - hampir pada setiap masa - sukar dipenuhi gara-gara kekurangan pelanggan.

“Kami bermula dengan tumpang berniaga depan kedai kawan. Tapi sedang seronok berniaga, kami diberitahu dah tak boleh berniaga di situ lagi. Maka kami pakat-pakat cari kedai sendiri supaya boleh berniaga.

“Untuk permulaan kami tiada modal... zero. Sampaikan saya dan Lola XPCD kutip kayu dari kilang-kilang sekitar kawasan ni untuk dijadikan perabot.

"Untuk peralatan lain, kami beli barangan terpakai dan ada juga yang bayar secara ansuran," katanya.

Bukan minta disuap

Namun, tambah Mohd Razali sejak beberapa bulan lalu mereka terpaksa bergelut untuk melunaskan bayaran bil dan sewa RM3,000 sebab pelanggan tak ramai.

Mohd Razali, 48, yang juga bekas pemenang program Rentak Juara 2010 itu berkata, hal itu menyebabkan kafe yang dibangunkan itu sebenarnya lebih banyak mengalami kerugian berbanding meraih keuntungan.

“Keuntungan langsung tak ada, banyak yang keluar (duit) daripada masuk. Ia disebabkan orang ramai takut nak makan luar kerana Covid-19.

“Nak dapat lebih RM50 sehari pun susah, tapi kami terpaksa buat juga daripada tak ada apa untuk dimakan,” katanya.

Mohd Razali ditemui pada sidang media pengumuman Marqazz Rock Cafe di Taman Cahaya Indah, Ampang, Selangor baru-baru ini.

Hadir sama, rakan pemuzik yang turut mencari makan di situ iaitu basis Shift Band, Rajali Omar atau Salleh, 40; Ebrahim Kiamhing atau Kay Ebrahim, 50, (vokalis band B’Dazzle) dan Lola (pemain dram XPDC).

Menyedari bukan mereka saja terkesan, Mohd Razali berharap pihak yang berkenaan mendengar masalah dihadapi dan berharap ada pihak yang bermurah hati menyediakan platform untuk sesiapa saja yang tiada sumber pendapatan ketika ini untuk mudah berniaga.

“Bukan nak minta untuk dikasihani atau minta disuap, tapi hulurkan kami 'joran' kerana dengan satu joran itulah kami ramai-ramai boleh 'tangkap ikan' seberapa banyak untuk dimakan beramai-ramai,” katanya berkias.

Mengakui pengalaman dilalui sewaktu berdepan zaman susah saat ini banyak memberi pengajaran, Mohd Razali turut berazam untuk tidak meninggalkan perniagaan yang diusahakannya itu sekiranya rezekinya bertambah baik pada masa depan.

“Jika keadaan pulih, kalau dah senang, kami akan tetap teruskan apa yang sudah dimulakan. Kami fikir, muzik dah jadi nombor dua,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS