Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aliff Syukri nafi janji bulan bintang pada pada Wani Chomel

Aliff Syukri Kamarzaman menafikan pernah menjanjikan pulangan bagai “bulan dan bintang” kepada Wani Chomel, yang mempunyai berat badan kira-kira 300 kilogram, untuk menjadi duta produk pelangsingannya.

Usahawan kosmetik itu berkata dia tidak pernah menjanjikan kereta, bantuan rumah mahupun elaun bulanan RM3,000 dalam kontrak perjanjian seperti didakwa wanita berusia 23 tahun itu.

“Kami tak pernah janji bulan dan bintang. Saya tak cakap nak bagi kereta, rumah dan kekayaan. Dia bukan isteri, mak atau bapa atau keluarga saya yang perlu dikayakan.

“Saya bukan pusat kebajikan masyarakat kena bantu dia sampai ada kereta, rumah semua nak bermewah-mewah seperti tu.

“Saya faham zaman Covid-19 ini ramai orang terjejas kerana masalah kewangan, tapi jangan ambil jalan pintas sebegini. Carilah kerja kalau ada kaki dan tangan,” katanya dalam siaran langsung di laman Facebook Aliff Syukri Terlajak Laris hari ini.

Pada 4 Dis lalu, Wani atau nama sebenarnya Nurul Airawani Nazira Ibrahim dalam sidang media mendakwa Aliff gagal menunaikan janjinya selepas dia bersetuju menjalani pembedahan bariatrik (potong usus) pada 19 Ogos 2019 dan mengikatnya sebagai duta produk pelangsingan.

Nurul Airawani Nazira

Bahkan, kata wanita yang sebelum ini berdepan masalah kesukaran berjalan, berkata dia terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk pemeriksaan susulan.

Justeru, dia menuntut ganti rugi daripada Aliff kerana mendakwa tidak mendapat faedah yang dijanjikan.

Bagaimanapun, Aliff pada minggu lalu menafikan dakwaan itu dan mempersoalkan mengapa ia hanya dibangkitkan lebih setahun selepas pembedahan dibuat.

Dalam siaran langsung hari ini, Aliff, 33, berkata dia sangat kecewa kerana niatnya untuk membantu dibalas dengan percubaan "menjatuhkannya".

"Saya pernah mengambil beberapa artis sebagai duta seperti Erra, Fazira, Wak Doyok dan Wani Hasrita, namun ia tidak berakhir seperti ini.

“Fikirlah secara logik, permintaan seperti itu memang di luar jangkaan. Memang tak ada sama sekali. Jika ada seperti didakwa, tuntutlah di mahkamah nanti," katanya lagi.

Aliff mendakwa dia telah mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM60,000 untuk menanggung kos pembedahan Wani, selain membayar jurulatih terapi, makan dan tempat tinggal di sebuah resort dengan kos RM250 semalam, serta menyediakan tukang masak sepanjang gadis itu menerima rawatan.

“Saya tampil untuk bantu Wani, bukan keluarganya. Keluarga dia ada kaki, tangan dan boleh berjalan. Semua kos bedah, makanan kesihatan tambahan, resort bukan sehari tapi berbulan-bulan semua saya bayar hingga habis ratusan ribu," katanya.

Pada masa sama, Aliff berkata dia bersedia dengan segala kemungkinan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Berkenaan tuntutan saman Wani, saya alu-alukan saman anda. Saya tunggu, dan kita lihat siapa yang akan disaman,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS