Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Setiap agama anjurkan kasih sayang terhadap haiwan'

Meskipun terdetik perasaan bimbang pada awal ‘perkenalan’ Umie Aida dengan Blacky, ia tidak menghalang pelakon terbabit menyantuni anjing jalanan berkenaan.

Bermula dengan memberi anjing itu makan dan minum, Umie Aida kemudian semakin tersentuh selepas menyedari Blacky bukanlah anjing jalanan yang boleh mendatangkan bahaya.

Bermula dari detik berkenaanlah pemilik nama penuh Umi Khalsum Rahmad Ali itu berterusan berbuat baik terhadap anjing tersebut dan ia berlanjutan hingga ke hari ini.

Justeru, pelakon filem Dukun itu mengakui dia benar-benar terkilan apabila menonton klip video tular yang memaparkan ada individu bertindak zalim dengan membunuh anjing tanpa belas kasihan.

“Mula-mula memang takut, wajah Blacky memang garang. Tapi haiwan ni mungkin seperti manusia yang punyai naluri untuk tak mencederakan apabila kita berbuat baik dengannya.

“Bila tengok video tular tu, saya tertanya-tanya kenapa ada manusia zalim seperti tu. Sejujurnya, saya tak sanggup tonton sampai habis video berkenaan.

“Saya percaya setiap agama anjurkan kasih sayang terhadap setiap makhluk ciptaan Tuhan tak kira sama ada anjing atau mana-mana haiwan lain pun,” katanya kepada Malaysiakini.

Susulan itu, Umie, 46, berkata dia terbuka hati menjalin kerjasama dengan sebuah organisasi bukan kerajaan, My Forever Doggo, untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar hidup berharmoni dengan haiwan.

Tak jilat, tak gesel

Katanya, tujuan utama dia menyertai usaha itu adalah kerana ingin menyebarkan kasih sayang tatkala situasi menghimpit dunia sekarang mampu mencetuskan perasaan marah dengan sekelip mata.

“Saya sedar, sekarang ni semua orang tengah ‘sakit’ ekoran keadaan kewangan dan ekonomi terjejas akibat pandemik Covid-19. Ia juga menyebabkan seseorang itu sensitif. 'Jentik' sikit, habis.

“Bagi saya, sekarang adalah waktunya untuk kita sebarkan perkara positif, kasih sayang dan hidup menghormati ciptaan Allah.

“Saya tak harap lain cuma mahu buka minda masyarakat agar dapat menerima kehidupan lain dan hargai ciptaan Tuhan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video berdurasi 24 saat menunjukkan seorang lelaki berdiri di depan rumahnya sambil memegang senapang sebelum menembak seekor haiwan dipercayai anjing.

Bagaimanapun, wajah pelaku terbabit tidak kelihatan dalam rakaman video tersebut dan identitinya tidak dapat dipastikan hingga kini.

Persatuan Haiwan Malaysia turut menawarkan RM2,000 kepada sesiapa yang dapat menyalurkan maklumat sahih berkaitan lelaki terbabit.

Menceritakan kisah Blacky, Umie berkata, haiwan itu seakan-akan menghormati dirinya seorang Muslim.

Katanya, dia juga menjaga batasnya dengan anjing berkenaan sebagai seorang penganut ajaran Islam.

“Blacky seekor anjing istimewa, ia tak menjilat atau menggesel badan pada saya, ia tahu batas dengan saya. Saya juga tak membawa ia masuk ke rumah.

“Ia hanya datang ke kawasan rumah saya apabila hendak makan dan minum. Ia juga seolah-olah berterima kasih dengan menjaga rumah saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS