Selepas mengundang tanda tanya apabila bentuk tubuhnya dilihat berbeza daripada biasa, penyanyi Siti Nurhaliza hari ini akhirnya mengesahkan dia sedang berbadan dua sekali lagi.
Menurut Siti, sungguhpun kehamilan itu baru mencecah usia empat bulan dia tidak berniat untuk merahsiakan berita gembira tersebut daripada umum seperti sebelum ini.
“Alhamdulillah. Hari ini 1 Disember saya dan suami membuat pengumuman rasmi mengenai kehamilan saya yang sudah berusia empat bulan.
“Tiada niat untuk berdiam diri selama beberapa bulan namun saya dan suami berfikir apabila tiba waktu yang sesuai kami tetap akan berkongsi berita ni dengan semua terutama keluarga, saudara-mara, sahabat-handai, para peminat dan sesiapa yang mengenali kami,” katanya di media sosial sebentar tadi.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan anak sulung penyanyi Anta Permana itu, Siti Aafiyah, seolah-olah memberi bayangan ibunya mengandung.
Aksi spontan Aafiyah yang kini berusia lebih dua tahun mencium perut ibunya, sewaktu sesi siaran langsung di Instagram penyanyi itu mengundang spekulasi yang mengatakan penyanyi itu sedang hamil anak kedua.
Siti, 41, dalam perkongsiannya itu turut memohon peminat untuk mendoakan kesihatan dia dan bayi dalam kandungannya.
“Saya memohon doa kalian supaya saya dan bayi dalam kandungan diberikan kesihatan, dipermudahkan hari-hari saya hinggalah saat melahirkan nanti
“Terima kasih sekali lagi kepada kalian yang sangat memahami dan tidak putus mendoakan saya selama ini.
“Saya amat bersyukur di atas kurniaan Allah ini, anugerah yang sangat berharga kerana saya diberi peluang untuk hamil selepas Siti Aafiyah berusia dua tahun lebih,” katanya.