Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Panas Panas Theatre ketengah penulis teater wanita

Melihat situasi penulis teater wanita yang kurang diberi perhatian dalam seni pementasan, Panas Panas Theatre mengambil inisiatif untuk membuka peluang tersebut menerusi program Women’s Play Marathon (WPM).

Menurut pengasas Panas Panas Theatre, Hana Nadira, tujuan program tersebut adalah untuk membacakan 50 karya teater yang ditulis wanita sehingga akhir tahun 2020.

“Melihat keadaan perintah kawalan pergerakan (PKP), bacaan (teater) itu dibuat setiap malam, hari Rabu dengan beberapa pelakon yang sudah ditentukan peranan sehingga akhir tahun 2020.

“Bacaan itu dijadual habis pada 30 Disember 2020,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya, lebih 50 penggiat teater termasuk dari luar negara seperti dari New Zealand, Filipina, Singapura dan United Kingdom turut serta dalam projek bacaan teater tersebut.

Hana Nadira.

“Antara personaliti yang juga bersama kami, Joanne Kam (ratu komedi Malaysia), Bella Rahim (pelakon antarabangsa, Dominique La Victoria (penulis teater dari Filipina) dan Nabilah Said (pengkritik dan penulis teater dari Singapura),” katanya.

Untuk rekod, Panas Panas Theatre adalah kumpulan yang ditubuhkan oleh Hana serta beberapa rakannya sejak 2019 untuk memberi pendedahan berhubung seni teater.

Kumpulan tersebut juga bercita-cita untuk menyuntik elemen kreatif yang lebih moden dalam seni persembahan panggung.

Ketika dihubungi Malaysiakini untuk mendapatkan respons lanjut, Ketua Pemasaran Panas Panas Theatre Syahira Zakaria berkata, setakat ini, pihaknya sudah menjayakan 45 bacaan teater (plays).

“Tinggal lima lagi untuk kita habiskan,” katanya dengan menambah sambutan yang melihat bacaan tersebut juga memuaskan.

“Walaupun kami buat bacaan dalam (aplikasi persidangan dalam talian) Zoom, sambutan amat memuaskan. Dalam setiap persembahan akan ada mereka yang tertarik untuk turut serta dan juga menonton,” katanya.

Tambahnya, meskipun hanya dapat dilakukan menerusi aplikasi dalam talian, keseronokan dalam bacaan teater itu masih hangat.

Syahira Zakaria.

Selain itu, Syahira turut menyenaraikan beberapa tajuk bacaan teater itu bersama penulisnya yang telah dipilih oleh Hana bagi projek tersebut. Antaranya A Flight Delayed oleh Yasmin Yaacob, Pink (Sam Holcroft), Eclipsed (Danai Gurira) dan banyak lagi.

“Minggu lalu adalah The Silent Song of the Genjer Flowers yang ditulis oleh Faiza Mardzoeki,” katanya dengan menambah kisah tersebut memaparkan semangat bantu-membantu antara rakan karib.

Jelasnya, bagi bacaan teater hari Rabu, 2 Dis ini, ia akan mengangkat tema keganasan berdasarkan jantina susulan penglibatan kumpulan mereka dalam kempen yang dianjurkan oleh Southeast Asia Feminist Action Movement (Seafam).

“Panas Panas Theatre juga telah bergabung dengan Seafam yang dipelopori oleh KRYSS Network (Malaysia), Jakarta Feminists Association (Indonesia) dan Gantala Press (Filipina), sebagai penyokong kumpulan feminis di antara tiga buah negara.

“Maka dengan itu, tema untuk hari Rabu ini adalah keganasan terhadap jantina. Tajuk bacaan teater adalah Happy Families oleh Dr Ann Lee," katanya.

Tambahnya, karya tersebut berkisahkan empat orang rakan yang sedang berbual-bual sehingga salah seorangnya membuka rahsia berdepan dengan penderaan sewaktu kanak-kanak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS