Sekiranya kemelut royalti masih tidak menemui jalan penyelesaian pada waktu yang dirasakan wajar, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) tiada pilihan lain kecuali membawa isu tersebut kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Kata Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, pihaknya setakat ini sudah memberi kata dua kepada Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM) Sheila Majid untuk meletak jawatan selepas tujuh tahun badan yang diterajui penyanyi itu didakwa gagal bertindak balas terhadap krisis secara rasional.
"Saya dah berjuang 20 tahun untuk isu royalti artis, biarlah usaha ini yang terakhir akan saya lakukan. Kira-kira 50 kali saya dah desak Sheila untuk letak jawatan.
"Setakat ni seramai 114 ahli RPM menandatangani petisyen mendesak Sheila untuk meletak jawatan.
"Ia bukan kuantiti tapi kualiti di sini yang kami nak tegakkan tapi jika masih belum berhasil juga cara itu (petisyen), kami terpaksa gunakan saluran paling tinggi iaitu Perdana Menteri. Perdana Menteri ada anak yang merupakan seorang penyanyi," katanya," katanya.
Freddie berkata demikian pada sidang media khas berhubung isu royalti artis Bukti Damansara, Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir penyanyi Khatijah Ibrahim dan Ito Mohd serta komposer Mohd Rafi Shafie.
Terdahulu, timbul isu berkenaan royalti yang tidak diagihkan kepada artis oleh badan pengutip royalti. Susulan itu, Karyawan juga menggerakkan petisyen dalam talian bagi mendesak Sheila melepaskan jawatannya.
Ada juga artis yang menyuarakan rasa terkilan atau kecewa apabila hanya menerima royalti dalam jumlah yang rendah meskipun menceburi bidang berkenaan sejak sekian lama.
Isu itu juga mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini dilaporkan sedang melakukan siasatan.
Freddie yang juga anggota RPM berkata, tujuan dia tampil dan memperkatakan isu itu ialah agar ia dapat diselesaikan segera.
Katanya masalah kutipan royalti artis sudah lama berlarutan dan pemuzik yang dihimpit masalah kewangan merayu agar hak mereka dikembalikan.
"Saya bukannya nak jawatan pengerusi RPM tu malah saya minta agar semua ahli memilih pemimpin mereka selepas ni secara demokrasi.
"SPRM sedang menyiasat tapi mungkin hal tu akan ambil masa.
"Orang sekarang sedang susah, artis dan pemuzik tengah lapar, industri tak ada kerja kerana tak ada album dihasilkan serta sikap Sheila dilihat tak bertanggungjawab.
"Bagi saya, baik Sheila atau semua ahli lembaga pengarah yang lain get out (berundur) dan saya rasakan Music Rights Malaysia (MRM) adalah badan yang terbaik (untuk menguruskan royalti) cuma ia diperalatkan," dakwanya.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi Sheila bagi mengulas isu berkenaan.