Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
ULASAN | Selepas Ramy Essam senandungkan Irhal di Dataran Tahrir

ULASAN SENI | Oligarki turun-temurun dalam sistem demokrasi politik negara ini sudah membentuk fikiran rakyat sehingga ia menjadi berselirat dan penuh dengan komplikasi.

Keabsahan seni, sastera dan budaya sebagai hiburan memang tidak tersangkalkan. Namun persoalan kepentingannya dalam masyarakat sering dipertanyakan.

Sangkaan-sangkaan jahat yang terpaksa dipikul oleh bidang seni, sastera dan budaya memang sukar dielakkan. Ia berpunca daripada pelbagai lumpur yang terpalit daripada kerenah dunia hiburan, misalnya.

Malah kewujudannya sebagai beban pada dahan dan ranting hiburan sudah terlalu menyenakkan.

Konotasi hiburan yang terlalu diasosiasikan dengan fiksyen dan khayalan menjadikan seni, sastera dan budaya sebagai produk sampingan yang tidak punya apa-apa kepentingan.

Pemahaman ramai orang ialah seni cuma pada lakonan, perlambangan dan lukisan. Sastera pula hanya babak perkataan dan tulisan berbunga-bunga mencari keindahan. Sementara budaya sekadar nyanyian dan tarian penyeri majlis-majlis keramaian.

Jadi hidup dan bernafaslah ia dalam habitat hiburan yang disangka penuh glamor dan meriah. Walhal potensinya besar tetapi ia terus dibonzaikan dari semasa ke semasa.

Pada masa sama ramai juga orang yang lupa menyemak kamus bagi mencari maka sebenar seni dan hiburan. Ketika kepentingannya semakin diragui entah berapa kali lebai politik yang acah-acah ilmuan melabel hiburan sebagai lagha dan maksiat yang hanya mengundang laknat tuhan.

Bersama mikrofon dan gitar

Baru-baru ini seorang ahli parlimen - sewaktu membahaskan Belanjawan 2021 - membuat penegasan: “Hiburan tentunya tak relevan ketika rakyat sedang menderita, hilang punca pendapatan dan pekerjaan. Penganjur langsung tidak menghormati sensitiviti dan keperitan bencana yang dilanda rakyat dan negara.”

Sekali lagi oligarki turun-temurun yang terdapat dalam sistem politik negara ini cuba untuk mengukuhkan kedangkalan fikiran yang sudah terbina sejak sekian lama.

Entah rakyat negara ini sedar atau tidak, pandemik Covid-19 mencampakkan kita ke gaung “new topia” atau “topia baru” iaitu suatu daerah yang sempadannya menghampiri dystopia yang penuh dengan segala macam jenis fobia.

Apa hubungan semua ini dengan seni, sastera dan budaya?

Pada 2011 - sewaktu seluruh pelusuk jalan menuju ke Dataran Tahrir dibanjiri dengan ratusan ribu para penunjuk perasaan - muncul Ramy Essam di tengah lautan manusia. Bersamanya ialah mikrofon dan gitar.

Ramy kemudian menghiburkan para demostran dengan lagu Irhal (Pergi) yang ditujukan kepada Hosni Mubarak yang disepakati mereka perlu jatuhkan. Dataran Tahrir bertukar jadi medan konsert besar-besaran.

Mereka menyanyi, menari dan bertepuk tangan sambil melaung-laungkan lirik Irhal dengan penuh bersemangat. Karya itu kemudian digelar sebagai "lagu sebenar Revolusi Dataran Tahrir".

Ramy bukanlah sesiapa dalam politik. Dia bukan ketua pemuda mana-mana parti. Dia juga bukan pengasas parti orang muda. Ramy hanya anak muda yang percaya seni, sastera dan budaya ada kekuatan liar yang luar biasa.

Ramy membuktikan kepada politikus bahawa muzik mampu menyatukan hati, memberanikan jiwa. Dari situlah revolusi Arab Spring menjalar hingga ke Yaman, Syria dan Libya.

Seni meluruskan kebejatan

Rusia pada 2012. Vladimir Putin diumum bakal cuba mendapatkan sokongan rakyat untruk mengekalkan kuasaanya buat penggal ketiga. Nadezhda Tolokonnikova, Maria Alyokhina dan Yekaterina Samutsevich muncul di depan sebuah gereja ortodoks di Moscow.

Objektif kumpulan Pussy Riot itu hanya untuk menyanyikan lagu mereka Punk Prayer: Mother of God Drive Putin Away.

Persembahan kumpulan punk itu sengaja memilih gereja tersebut untuk menzahirkan suara mereka mengecam hubungan akrab kumpulan gereja ortodoks Rusia dengan Putin.

Ramy dan Pussy Riot adalah jelmaan John Lennon, Tracy Chapman dan kumpulan Rage Against The Machine yang memberikan makna dan erti sebenar pada hiburan.

Mereka membuktikan seni, sastera dan budaya itu juga adalah ideologi yang boleh meluruskan kebejatan.

Masalahnya potensi sebenar hiburan sering kita bataskan. Walhal ia tidak setakat untuk memulihkan kelesuan dan kemurungan rakyat menghadapi pandemik yang berpanjangan.

Seandainya Pak Sako masih bernyawa lagi, pasti dia akan akan menulis lebih banyak cerpen, novel, skrip dan pantun seperti yang pernah dia lantunkan ini:

"Malaya sudahlah merdeka

sebulan rakyatnya bersuka

sekarang ada yang berduka

sebab nampak punca-punca celaka.


"Saya tidak tahu berpolitik

tetapi mengerti apa yang cantik

buah papaya atau betik

serupa saja saya dan patik.


"Orang bercakap fasal demokrasi

diajak mengundi memilih kerusi

awok fikir sudah sekongsi

rupanya ada atas mengatasi!


HARIS HAUZAH ialah si pendiam yang sering berbalas pantun dengan lipas dan kupu-kupu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS