Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) memulakan petisyen dalam talian mendesak Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM), Sheila Majid, meletak jawatan selepas penyanyi itu didakwa gagal menyelesaikan isu royalti artis.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, mendakwa isu royalti masih belum menemui kesudahan yang baik meskipun sudah tujuh tahun Sheila memegang jawatan tersebut.

“Dia sukar memberikan kerjasama selain gagal hadir beberapa perjumpaan diadakan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah, dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alexander Nanta Linggi.

"Apabila jawatankuasa muzik di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengaturkan perjumpaan untuk selesaikan masalah royalti artis, dia tak datang mahupun hantar wakil.

“Yang hadir cuma wakil Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) dan Public Performance Malaysia (PPM),” katanya kepada Malaysiakini.

Petisyen itu digerakkan semalam oleh Freddie, 67, dengan menyasarkan sekurang-kurang 100 tandatangan.

Setakat berita ini ditulis, petisyen yang disasarkan kepada golongan penyanyi dan pemuzik rakaman itu sudah berjaya mengumpulkan lebih 60 tandatangan.

Menurut Freddie, isu royalti mungkin tidak dapat diselesaikan sampai bila-bila sekiranya Sheila masih enggan memberikan kerjasama seperti yang sepatutnya.

“KPDNHEP ada meminta Sheila datang perjumpaan, namun dia tak datang. Jika berterusan begini, macam mana kita nak selesaikan masalah? Menteri nampaknya lebih berminat nak selesaikan masalah berbanding Sheila,” katanya.

Mungkin jadi punca

Freddie turut mendakwa penyanyi itu menduduki kerusi berkenaan bukan selepas dipilih artis, sebaliknya dipilih syarikat rakaman untuk menerajui RPM.

“Justeru, jika gagal selesaikan masalah, dia kenalah letak jawatan tu,” katanya.

Pada masa sama, Freddie turut mendesak Ahli Lembaga Pengarah RPM turut meletak jawatan dan membenarkan pemilihan dilakukan secara demokrasi.

"Bagi ahli lain, pilih barisan baru bagi menyelesaikan semua masalah yang wujud sejak 20 tahun lalu," katanya.

Freddie beranggapan Sheila tidak tahu cara bagaimana hendak menyelesaikan masalah selain tidak mempunyai kelayakan berbuat demikian.

"Isu ni babitkan puluhan juta ringgit. Sheila perlu mengakui kelemahannya.

"Jika dia tak berminat untuk selesaikan masalah, masih ramai lagi calon yang layak terajui RPM. Hingga kini, dia juga belum buat apa-apa kenyataan mengenai royalti,” katanya.

Freddie menyifatkan pengurusan yang lemah berkemungkinan menjadi punca masalah royalti berterusan dalam RPM di bawah kendalian Sheila.

Menguatkan dakwaan itu, katanya, Sheila pernah menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 28 September lalu tetapi tarikh itu dilihat kurang bersesuaian disebabkan ia bertembung dengan mesyuarat MACP.

“Kenapa buat hari sama? Mesyuarat MACP berlangsung sampai malam. RPM pula mula jam 3 petang. Beratus-ratus ahli RPM tak dapat sertai mesyuarat tu,” katanya.

Sementara itu, RPM memaklumkan kepada Malaysiakini setakat ini, pihaknya tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai isu berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS