Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hans mohon maaf tuduh Eizlan salah guna kuasa
Diterbitkan:  Nov 20, 2020 12:27 PM
Dikemaskini: 6:05 AM

Penerbit dan pelakon Hans Isaac memohon maaf secara terbuka kepada Eizlan Yusof selepas mengaitkan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu dengan dakwaan penyalahgunaan kuasa membabitkan syarikat produksi Exellent Pictures Sdn Bhd.

Bekas pengerusi Finas itu mengakui kekhilafannya mengaitkan Eizlan dengan Excellent Pictures dalam kenyataan yang dikirimkan kepada kumpulan WhatsApp Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) pada 16 Nov lalu.

“Dalam mesej tersebut saya telah membuat kesilapan dengan mengaitkan Eizlan dan Excellent Pictures Sdn Bhd. Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf di atas kekhilafan saya,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Eizlan meluahkan kekecewaannya atas dakwaan Hans dan menyifatkan tuduhan itu mencemarkan nama, imej dan reputasinya kerana dia tiada sebarang kaitan dengan syarikat terbabit, sama ada sebagai pengarah mahupun pemegang saham.

Eizlan Yusof

Susulan itu, pelakon berusia 49 tahun itu melantik firma guaman Tetuan Shaharudinali Azfarazmi & Co untuk memulakan proses perundangan.

Menurut Hans lagi, dia sebenarnya sedia untuk memohon maaf sebaik menyedari kesilapan tersebut tetapi tidak sempat berbuat demikian.

“Pada hakikatnya, saya bersiap sedia untuk merakamkan pembetulan beserta permohonan maaf kepada Eizlan kelmarin sebaik saja sedar akan kesilapan tersebut, tetapi belum sempat berbuat demikian, saya dimaklumkan bahawa dia telah menghantar surat peguam kepada saya,” katanya.

Hans, 49, berkata dia telah menghubungi Eizlan melalui peguamnya untuk mengeluarkan kenyataan pembetulan berhubung kesilapan tersebut.

"Saya sekali lagi ingin memohon maaf secara terbuka di atas kesilapan yang tidak disengajakan.

“Saya amat berharap agar kita dapat buang yang keruh, dan ambil yang jernih. Semoga kita dapat terus memajukan industri perfileman negara bersama,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS