Hantaran Instagram pelakon era 1990-an, Zul Yahya yang memaparkan rakaman sembahyang berjemaah yang dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi.
Rakaman video berdurasi enam saat itu memaparkan beberapa individu dipercayai sedang bersembahyan jemaah dalam jarak dekat di sebuah surau.
Untuk rekod, SOP yang ditetapkan ketika sembahyang jemaah adalah jarak fizikal satu meter antara jemaah.
“Alhamdulillah. Kami masih rapatkan saf, masih lagi terasa nikmat.
“Masya-Allah banyaknya komen, yang komen negatif tu baca apa yang ditulis pada belakang baju tu,” tulisnya di hantaran itu, merujuk baju belakang seorang jemaah yang berbunyi "sangka baik, hati jadi baik."
Hantaran itu mengundang pelbagai reaksi - dengan ramai menegur perbuatan itu, namun tidak kurang juga yang menyokongnya.
Seorang pengguna pula berkata agama Islam menuntut penganutnya menjaga maslahat umat.
"Menjaga kemaslahatan umat dituntut oleh Islam. Islam tidak menyusahkan...fikirkan dengan jiwa yang waras," katanya.
“Berfikir panjang sebelum berbuat sesuatu. Kalau ikut norma lama, ramai jemaah terkena Covid-19 macam mana? Tidakkah Islam dan orang Islam dipandang serong?” tegur seorang lagi.
“Kalau Allah kata jadilah, jadilah. Jadi kalau rapat saf pun, kalau Covid-19 tu tak terjadi dengan izin-Nya, insya-Allah tak jadi juga,” kata seorang pengguna lain.
Ketika berita ini ditulis, hantaran tersebut yang dimuat naik dua hari lalu telah mendapat lebih 70,000 tontonan dan lebih 600 komen.
Zul Yahya ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas berkenaan perkara tersebut.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, dia memuat naik satu video di Instagramnya yang memberi penjelasan tentang video tersebut selain beberapa soalan berkenaan SOP mengekang penularan Covid-19.
“Saya nak bertanya kepada agamawan, cerdik pandai, pakar ilmu.
“Hari ini kereta boleh naik tak lebih daripada tiga orang. Jadi mereka pergi maka dan selepas itu, mereka berjalan bersama-sama menuju ke kereta, kadang-kadang kita lihat yang berjalan ini cukup rapat. Masuk dalam kereta rapat-rapat.
“Kemudian mereka pergi ke masjid untuk menunaikan solat. Sampai ke masjid, mereka ambil suhu badan, tulis butiran nama, kemudian mereka betiga solat, tetapi solat mereka terpaksa dijarakkan satu meter.
“Jadi benda itu jadi macam peliklah. Kenapa kena ada cara baru pula hendak solat?" soalnya.
Bagaimanapun beberapa pengguna membangkitkan perbezaan dua keadaan itu, di mana kedudukan pada saf mungkin bersebelahan dengan individu lain, berbanding peraturan tiga individu dalam kereta yang perlu tinggal di rumah yang sama.
Berdasarkan SOP, pengurusan masjid hendaklah membuat penandaan jarak antara jemaah sekurang-kurangnya satu meter, selain pemakaian pelitup muka.
Bagaimanapun, jumlah jemaah adalah berbeza-beza mengikut negeri dan zon dalam negeri.
Di Wilayah Persekutuan, zon hijau dan kuning membenarkan satu pertiga kapasiti dewan sembahyang, namun hanya 12 jemaah dibenarkan untuk zon merah.
Di zon hijau di Selangor pula, seramai 23 orang dibenarkan bersembahyang dalam satu masa dan 16 orang di surau, tetapi sembahyang jemaah tidak dibenarkan di zon kuning dan merah.
Setakat tengah hari ini, Covid-19 telah menjangkiti 49,730 orang dan menyebabkan 318 kematian di Malaysia.