Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ezra Kairo tak hilang semangat diejek kerana keturunan, warna kulit
Diterbitkan:  Nov 15, 2020 3:20 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Meskipun pernah menjadi mangsa buli kerana berketurunan India Muslim atau mamak, penyanyi Ezra Kairo enggan terus hanyut berdepan trauma dialami dengan menjadikan muzik sebagai eskapisme.

Bagi penyanyi yang selesa berada di bawah radar arus perdana atau independent itu, muzik ibarat salah satu medium yang boleh membantunya bangkit dan melupakan perkara melemahkan.

“Fasa genting dalam hidup saya terjadi ketika di sekolah menengah dalam tingkatan satu. Dilahirkan dalam keluarga India Muslim, saya tak lepas diejek dan dibuli. Malah pelbagai gelaran yang diberikan kepada saya cukup menyesakkan hati.

“Warna kulit saya juga jadi modal usikan dan ejekan. Saya berdepan trauma yang memeritkan. Umpama diri ini tiada hati dan perasaan,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, muzik adalah ruangnya untuk berkongsi curahan hati justeru dia akan mengalihkan apa saja rasa yang tidak ‘enak’ khususnya melalui muzik dan menulis lirik.

Buat yang tidak mengenali, Ezra atau nama sebenarnya Daniel Ezra Mohd Shafiq Nickleson, itu mulai aktif memuat naik lagu nukilan liriknya di platform digital termasuk di YouTube sejak tahun lalu.

Penuntut diploma tahun akhir jurusan perniagaan di sebuah kolej tempatan itu memiliki album EP yang menempatkan lima single berbahasa Inggeris di Spotify sejak Februari lalu.

“Nama saya sedikit meledak Mac lalu ketika perintah kawalan pergerakan dikuatkuasa sewaktu mempromosikan lagu Come Thru.

“Tanpa diduga dengan bantuan dan akses dimiliki aplikasi TikTok, lagu itu diminati sampai ke Afrika Selatan, India, Brunei, Rusia, Mauritius, Maldives, Singapura dan Indonesia,” katanya yang turut memaklumkan Wait For Me diputarkan di stesen radio Hits FM.

Selepas muncul dengan beberapa buah single dan EP berbahasa Inggeris, Ezra, 19, kini optimis untuk tampil dan melancarkan single bahasa Melayu berjudul Kau Tiada.

“Lirik lagu Kau Tiada saya tulis dalam bahasa Inggeris. Ia diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan bantuan kawan saya yang juga penyanyi dan peserta Big Stage, Amir Hassan.

“Lagu ini berkisahkan kehilangan apabila orang yang kita sayangi sudah tiada. Ia tidak hanya tertakluk kepada kekasih semata mata. Tapi dengan sesiapa saja yang kita rapat.

“Saya sendiri kehilangan bapa tersayang di usia tiga tahun. Saya yakin ramai yang sudah terbiasa melalui fasa kehilangan. Bukan sesuatu yang mudah melawan fasa sebegitu, namun hidup harus diteruskan,” katanya.

Ezra memilih untuk melancarkan teaser Kau Tiada itu Jumaat lalu di platform YouTube, Tiktok dan media sosial lain.

“Saya sempat mempromosikan sedikit lagu itu di Instagram, Twitter dan Facebook beberapa hari lalu. Maklum balas yang diperoleh cukup positif. Tiada aral, saya akan lancarkan lagu itu 25 November ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS